Xavi Hernandez
Xavi Hernandez
AFP

Barcelona: Kelab gergasi Sepanyol iaitu Barcelona mengambil keputusan mengejutkan dengan memecat jurulatihnya Xavi Hernandez hanya kerana pasukan itu gagal memenangi sebarang trofi musim ini.

Walaupun, beberapa minggu lalu Presiden kelab itu Joan Laporta bersetuju bahawa Hernandez akan kekal di jawatan terbabit namun ternyata ia hanyalah 'janji manis'.

Hernandez akan memimpin pasukan untuk perlawanan terakhir La Liga pada hari esok di Sevilla sebelum mengucapkan selamat tinggal.

"Presiden Barcelona Joan Laporta memberitahu Xavi Hernandez bahawa dia tidak akan terus menjadi jurulatih untuk musim 2024-25," kata Barcelona dalam satu kenyataan.

Bekas jurulatih Bayern Munich dan Jerman, Hansi Flick, dijangka akan menggantikan Xavi.

"Adalah tidak mudah untuk meninggalkan kelab sepanjang hidup anda, tetapi saya sangat bangga," kata Hernandez dalam surat terbuka yang diterbitkan di media sosial.

"Mulai Ahad saya akan menjadi satu lagi peminat Barcelona, di bangku penonton, sama ada di Stadium Olimpik atau dalam beberapa bulan di Camp Nou yang baru.

"Kerana sebelum menjadi pemain atau jurulatih, saya adalah peminat Barcelona dan saya hanya mahukan yang terbaik untuk kelab ini, yang sentiasa mempunyai saya di sisi mereka."
Pada Januari lalu, Hernandez berkata, beliau akan meninggalkan jawatannya pada akhir musim tetapi, selepas prestasi menakjubkan pada April seterusnya Laporta bersetuju bahawa jurulatih itu akan kekal untuk kempen musim depan, dengan kontraknya tamat pada Jun 2025.

Walau bagaimanapun, situasi berubah dengan media Sepanyol melaporkan bahawa Laporta marah dengan komen Hernandez yang mencadangkan bahawa sukar bagi kelab kekurangan kewangan untuk bersaing dengan Real Madrid dan pasukan elit Eropah lain.

"Barcelona ingin mengucapkan terima kasih kepada Hernandez atas komitmennya sebagai jurulatih.

"Dalam beberapa hari akan datang, Barcelona akan mengumumkan struktur jurulatih baru dan kakitangan pasukan utama." tambah kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 9:38 AM