XAVI buat pusingan U mahu kekal bersama Barca. FOTO Reuters
XAVI buat pusingan U mahu kekal bersama Barca. FOTO Reuters
AFP

Barcelona: Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez menegaskan beliau masih merasakan dapat meyakinkan presiden, Joan Laporta walaupun spekulasi hangat mengenai masa depannya.

Media Sepanyol secara meluas melaporkan bahawa Xavi akan dipecat dalam beberapa minggu akan datang tetapi jurulatih itu berkata Barcelona 'menyampaikan ketenangan' kepadanya.

Pengendali berusia 44 tahun itu pada mulanya berkata pada Januari lalu beliau akan meninggalkan kelab pada penghujung musim tetapi membuat pusingan U yang dramatik selepas prestasi pasukan bertambah baik.

Bagaimanapun Laporta dilaporkan marah dengan kata-kata Xavi awal minggu ini apabila jurulatih itu menonjolkan kesukaran kewangan Barcelona berbeza dengan kekuatan musuh tradisi Real Madrid.

"Berita itu tidak menarik minat saya, (kelab) menyampaikan ketenangan dan keyakinan kepada saya, bagi saya langsung tiada apa yang berubah," kata Xavi pada sidang akhbar.

"Kami akan duduk dengan presiden, jika kami perlu berbincang mengenai sesuatu, kami akan berbincang, tetapi secara teori semuanya seperti tiga minggu lalu."

Ketika itulah Laporta dan Xavi mengumumkan berita bahawa jurulatih itu akan kekal sehingga Jun 2025, melengkapkan tahun terakhir kontraknya.

Juara musim lalu Barcelona gagal memenangi trofi dalam kempen kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 10:51 PM