XAVI (dua dari kanan) mengakui seperti tidak dihargai Barca. FOTO AFP
XAVI (dua dari kanan) mengakui seperti tidak dihargai Barca. FOTO AFP
Reuters

Seville: Pengurus Barcelona yang dipecat Xavi Hernandez berkata, beliau meninggalkan kelab itu dengan kecewa selepas merasakan kerjanya tidak cukup dihargai sebaik sahaja menamatkan musim ini dengan kemenangan 2-1 di Sevilla.

Xavi, 44, yang menyertai Barca dengan kontrak tiga tahun apabila pengendali Belanda Ronald Koeman meninggalkan pasukan pada 2021, mengetuai kelab gergasi Catalan itu memenangi kejuaraan liga ke-27 mereka musim lalu.

Beliau mengumpulkan 90 kemenangan, 23 seri dan 29 kekalahan dalam 142 perlawanan tetapi dipecat minggu lalu.

"Saya merasakan bahawa semua yang saya lakukan dalam dua setengah tahun ini menyebabkan gempa bumi. Saya disasarkan berkali-kali dalam banyak situasi," kata Xavi.

"Saya rasa kerja itu belum cukup dihargai. Kami mempunyai empat perlawanan penting di mana kami tidak dapat menyelesaikan dengan baik," tambahnya.

Naib juara La Liga itu, yang menamatkan 10 mata di belakang Real Madrid, mengharungi musim yang mengecewakan, tewas kepada Real dalam perlawanan akhir Piala Super Sepanyol, disingkirkan dari Copa del Rey oleh Athletic Bilbao pada suku akhir dan tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah oleh Paris St Germain juga dalam aksi lapan terakhir.

Xavi memutuskan untuk berundur pada Januari tetapi bersetuju kembali pada April selepas perbincangan dengan presiden Joan Laporta, yang kemudian mengubah fikiran dan memecatnya selepas semusim tanpa trofi.

"Bukan hak saya untuk menyatakan sebab atau motif. Saya rasa terpulang kepada presiden untuk menyatakannya. Saya tiada pilihan selain menerimanya.

"Saya tidak pergi dengan rasa lega kerana kami mahu meneruskannya. Ini adalah keputusan yang dibuat oleh kelab. Kami memahami dan menghormati perkara itu, tetapi kami fikir ia belum berakhir," tambahnya.

Xavi menegaskan bahawa walaupun beliau tidak bersetuju dengan pemergiannya, beliau menerima bahawa kelab itu lebih besar, sambil menambah bahawa tugas jurulatih seterusnya tidak akan mudah.

"Beliau sepatutnya tahu menghadapi situasi sukar kerana Barca adalah kelab yang mencabar tetapi lebih-lebih lagi ia berada dalam keadaan ekonomi yang teruk. Ia bukan satu tugas yang mudah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 8:12 AM