PENGENDALI negara, Kim Pan-gon. FOTO FB FAM
PENGENDALI negara, Kim Pan-gon. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon tidak cepat melatah terhadap isu membabitkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka menentang India semalam.

Hal ini kerana, pengendali dari Korea Selatan itu sudah menjangkakan padang akan berada dalam keadaan kurang memuaskan selepas menggunakannya pada sesi latihan kelmarin.

Beliau berkata, keadaan padang kurang memuaskan pada peringkat awal penukaran rumput adalah perkara biasa seterusnya memerlukan masa untuk matang.

"Perkara ini biasa, padang baru memang memerlukan masa dan kita sudah jangka keadaan padang malam ini kerana semalam ketika sesi latihan ia berlaku.

"Saya mahu ucapkan terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) kerana sediakan padang yang cantik ini dan kepada kerajaan kerana ambil tanggungjawab menyokong usaha ini," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya membuktikan ranking hanyalah sekadar nombor apabila membaham pasukan dikedudukan ke 102 dunia 4-2, malam tadi.

Jelas sekali taktikal Pan-gon terbukti berkesan untuk menyekat pasukan hebat seperti India sekali gus menempah slot menentang Tajikistan pada final Pestabola Merdeka 2023, Selasa ini.

Gol pasukan kebangsaan disumbangkan kapten pasukan Dion Cools, Ariff Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Corbin Ong.

Pasukan India pula hanya menyumbat dua gol menerusi Mahesh Singh dan Sunil Chhetri.

Sementara itu, Pan-gon berkata, barisan kejurulatihan perlu memperbaiki beberapa aspek kelemahan terutamanya dibahagian pertahanan dalam melunaskan dendam terhadap Tajikistan di atas kekalahan di saingan Piala Raja Thailand tahun lalu.

"Perlawanan hari ini (semalam) sukar, mereka mungkin boleh jaringkan tiga atau empat gol, kita cuba untuk perbaiki perkara ini juga, tetapi jangan hanya tengok bolos sahaja.

"Saya boleh letakkan banyak pemain di bahagian pertahanan tetapi kita ambil risiko untuk beri perlawanan yang menghiburkan kepada penyokong. Kalau tak mahu kita bolos setiap perlawanan, saya boleh saja buat dengan letakkan ramai pemain di gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 1:56 PM