JELAS terpancar wajah kegembiraan penerima komputer riba.
JELAS terpancar wajah kegembiraan penerima komputer riba.

Shah Alam: Senyuman kegembiraan terukir pada wajah penerima sumbangan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Islamic - Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba dan Data Internet.

Mereka adalah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), terdiri daripada 33 penerima komputer riba dan data internet serta tujuh penerima Tijarah (wang tunai) yang berlangsung di Kompleks Al-Tijarah, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Selangor.

Penuntut, Shamryanie Andrew@Amri, 22, berkata, dia sangat gembira dan bersyukur terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan komputer riba serta data internet.

Menurutnya, ia keperluan mendesaknya kerana komputer riba miliknya mengalami rosak dan tidak boleh digunakan sejak beberapa bulan lalu.

"Sepanjang tempoh ini, saya terpaksa meminta ihsan rakan untuk meminjam komputer riba mereka bagi menyiapkan tugasan pengajian.

"Memang berasa malu, tetapi saya tiada pilihan dan kurang selesa kerana mereka juga mahu menggunakannya (komputer riba).

"Apabila mengetahui tawaran ini, saya cuba membuat permohonan dan berasa sangat lega apabila berjaya (permohonan)," katanya.

Penuntut tahun dua jurusan pendidikan seni muzik itu berkata, komputer ribanya rosak di bahagian papan induk perlu dibaiki di negeri kelahiran di Sabah kerana masih dalam tempoh jaminan.

"Keluarga saya bukan orang senang dan pembelian komputer riba sebelum ini adalah sumbangan wang daripada saudara mara setelah mereka mengetahui saya dapat peluang melanjutkan pengajian di UiTM.

"Sumbangan komputer riba ini pula menjadi pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan peperiksaan yang terbaik," katanya.

Sementara itu penuntut jurusan perniagaan pengangkutan Ahmad Firdaus Ahmad Faysha,27, berkata, hari itu antara hari menggembirakannya kerana menerima komputer riba.

"Saya sangat memerlukan alat elektronik baharu ini memandangkan komputer riba saya sudah lama dan keadaannya kurang baik.

"Tambahan pula saya tidak berkemampuan untuk membeli yang baharu kerana harga agak mahal.

"Terima kasih Harian Metro dan Affin Bank atas sumbangan ini. Insya-Allah saya akan balas semula kebaikan itu dengan cara menaikkan nama UiTM menerusi pencapaian akademik," katanya.

Penerima sumbangan Tijarah, Muhammad Irfan Hakimi Mohamad Ilyas,22, berkata, dia bercadang mahu menggunakan sumbangan wang tunai itu untuk membayar baki yuran pengajian yang masih tertunggak.

Katanya, dia perlu melangsaikan tunggakan yuran pengajian sebelum keluar keputusan peperiksaan semester ini.

"Syukur Alhamdulillah atas sumbangan ini dan pada mulanya terkejut menerima panggilan daripada pihak Affin Bank yang memaklumkan saya dipilih sebagai penerima Tijarah.

"Ini sumbangan kedua saya terima sepanjang melanjutkan pengajian di UiTM dan menganggap ianya rezeki tidak dijangka," katanya.

Penuntut perakaunan itu berkata, selain belajar, dia turut melakukan pekerjaan sambilan sebagai penghantar barang untuk menampung kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:30 AM