ZAINAL dan Jehan. FOTO Aizuddin Saad
ZAINAL dan Jehan. FOTO Aizuddin Saad
Lizam Ridzuan


Selaras perkembangan teknologi kenderaan elektrik (EV) dunia, pengeluar kereta tempatan Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) juga sedang membangunkan kereta mereka sendiri menerusi sebuah prototaip EV, emo-1.

Dipertontonkan ketika PameranAutomotif Malaysia 2024 yang berlangsung di MAEPS, Serdang dari Rabu lepas sehingga hari ini, ia adalah kerjasama beberapa universti tempatan iaitu Universiti Tenaga Nasional, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia.

Ia meliputi tiga komponen utama iaitu bangku pengujian kuasa, rangkaian penggerak kuasa dan rekaan keseluruhan rangka yang dibuat di Malaysia.

Untuk pembangunan teknologi penukaran kuasa ia dilakukan dengan syarikat yang berpengkalan di Australia.

Menurut Perodua, kerjasama ini sudah bermula sejak September 2022 yang mana ketiga-tiga universiti terbabit membangunkan rangkaian penggerak kuasa EV dari peringkat asas yang membuka peluang kepakaran dan kemampuan masing-masing dalam bidang EV.

Perodua memilih Myvi sebagai model pilihan untuk projek ini kerana ia model pilihan dan antara terlaris di negara ini oleh rakyat Malaysia.

PROTOTAIP EV Perodua. FOTO Aizuddin Saad
PROTOTAIP EV Perodua. FOTO Aizuddin Saad

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata model EV itu disasarkan buat golongan pertengahan (M40) yang dijangka bakal direalisasikan pada penghujung 2025.

"Ia bakal ditawarkan pada harga di bawah RM100,000 dan bukan hanya menumpukan kepada produk semata-mata, malah ekosistem keseluruhan pengeluaran kereta itu termasuk pelupusan bateri yang perlu mesra alam," katanya.

Antara spesifikasi awal yang dikeluarkan oleh Perodua untuk emo-1 yang dijana kuasa 68PS dan 220Nm serta menawarkan jarak perjalanan sehingga 350 kilometer (km).

Ia mengambil masa lima jam bagi pengecasan Aliran Ulang Alik (AC) 11kW dan Aliran Terus (DC) 50kW dalam tempoh lebih sejam dan jenis bateri Prismatic Li-ion Nickel Manganese Cobalt (NMC) dengan sistem sejukan udara cecair.

Projek protaip ini diterajui oleh Ketua Jurutera Eksekutif R&D Perodua Jehan Adnan.

KERJASAMA pembangunan dengan tiga universiti tempatan. FOTO Aizuddin Saad
KERJASAMA pembangunan dengan tiga universiti tempatan. FOTO Aizuddin Saad

Meskipun hanya prototaip namun Perodua mengambil langkah proaktif dengan merancang mendapatkan rakan niaga atau kilang baharu untuk proses pemasangan kenderaan EV itu nanti.

Ini dilakukan bagi tidak mengganggu operasi pengeluaran sedia ada sekarang yang mampu menghasilkan kenderaan 300,000 unit setahun.

"Walaupun rupa sebenar EV kami berbeza daripada apa yang dipamerkan di sini, tetapi yakinlah bahawa kereta elektrik Perodua bakal membuat kemunculan dalam pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 7:00 AM