KEMAJUAN prosedur perubatan melalui MIS, robotik bantu pesakit dapat rawatan berkesan dengan risiko rendah.
KEMAJUAN prosedur perubatan melalui MIS, robotik bantu pesakit dapat rawatan berkesan dengan risiko rendah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KEPERLUAN untuk menjalani pembedahan atau sebarang prosedur perubatan yang invasif sememangnya boleh menimbulkan ketakutan pada ramai.

Ini kerana terdapat risiko dan potensi gangguan bukan sahaja kepada kehidupan seharian, malah terhadap kerja individu terbabit.

Selain itu, faktor ketidakpastian berkaitan prosedur yang akan dilakukan juga boleh menimbulkan ketakutan sehingga tidak mahu menjalani pembedahan.

Terdapat pelbagai kebimbangan yang sering dialami orang ramai apabila bercakap mengenai keperluan mereka untuk menjalani pembedahan.

Ia termasuklah berkaitan masa yang lebih lama perlu diambil untuk proses pemulihan dan kesannya terhadap gaya hidup selepas menjalani pembedahan termasuk perubahan fizikal seperti parut.

Menurut Pakar Perunding Anestesiologi di Pusat Perubatan Sunway Velocity(SMCV), Dr Khoo Eng Lea, berdasarkan pengalamannya, pesakit juga lazim menyatakan kebimbangan mengenai kesakitan yang bakal dialami selepas pembedahan dan ketika tempoh pemulihan.

"Walaupun ramai yang gerun apabila perlu menjalani pembedahan, adalah penting untuk menyedari prosedur perubatan pada hari ini sudah mengalami pelbagai kemajuan.

"Ia untuk membantu pesakit mendapat rawatan yang paling berkesan dengan risiko yang rendah," katanya.

Dalam pada itu, antara prosedur perubatan sedemikian ialah melalui pembedahan invasif minimal (MIS) iaitu sejenis pembedahan yang dijalankan untuk meminimakan trauma pada badan pesakit berbanding pembedahan tradisional.

Menerusi teknik seperti pembedahan lubang kunci tunggal (single keyhole surgery) dan pembedahan lubang kunci berbilang (multiple keyhole surgery), MIS bertujuan mengurangkan ketidakselesaan pesakit dan pada masa sama, mempercepatkan pemulihan.

Selain itu, landskap kaedah pembedahan terkini juga turut berubah dengan kemunculan pembedahan robotik.

Teknologi pembedahan robotik seperti Sistem Pembedahan da Vinci Xi dan Sistem Pembedahan Bantuan Lengan Robotik Mako SmartRobotics mentakrifkan semula landskap penjagaan kesihatan.

Sistem canggih itu menyediakan pakar bedah dengan lebih ketepatan semasa menjalankan prosedur pembedahan.

Pakar Perunding Urologi dan Pakar Bedah Robotik di hospital yang sama, Datuk Dr Selvalingam Sothilingam berkata, sistem pembedahan robotik yang ada hari ini dapat membantu pakar bedah untuk memetakan perancangan dan kaedah pembedahan dengan lebih baik.

Ia menggunakan kemajuan seperti pengimejan tiga dimensi dan prosedur pembedahan yang disesuaikan khusus mengikut keadaan setiap pesakit serta sejarah perubatan mereka.

"Selain itu, keupayaan robotik itu turut menawarkan rangkaian pergerakan lebih besar, membolehkan pakar bedah melakukan hirisan lebih tepat dengan parut yang minima.

"Pesakit juga mendapat manfaat dengan jangka masa kemasukan ke hospital yang lebih singkat dan kemudiannya membantu dalam meningkatkan pemulihan secara menyeluruh selepas pembedahan," katanya.

Menurut beliau lagi, impak transformatif pembedahan robotik dapat mengurangkan risiko komplikasi lain seperti jangkitan dan kehilangan darah ketika serta selepas prosedur pembedahan.

Meskipun ada banyak faedah pembedahan robotik dan MIS namun ada pesakit masih tidak memahami hingga membawa kepada pelbagai soalan atau keraguan.

Katanya, antara keraguan lazim dalam kalangan orang ramai ialah ketakutan melakukan prosedur pembedahan yang dilakukan sepenuhnya oleh robot tanpa kepakaran pakar bedah terlatih.

"Sistem pembedahan da Vinci Xi dan MAKO misalnya dikendalikan pakar bedah terlatih.

"Ini kerana prosedur pembedahan memerlukan kepakaran terperinci, jadi hanya pakar bedah yang sudah menjalani latihan dan memperoleh sijil sahaja dapat mengendalikan sistem pembedahan berkenaan," katanya.

Sementara itu, bagi membantu memberi pemahaman kepada masyarakat berkaitan kebimbangan terhadap prosedur pembedahan, hospital terbabit melancarkan kempen 'Sooner Than Expected' dengan matlamat menangani ketakutan, menjawab persoalan dan menghilangkan kesalahanggapan orang ramai.

Inisiatif itu menawarkan pengalaman imersif, memberi orang ramai pemahaman lebih baik mengenai bagaimana pembedahan invasif minimal dijalankan m

Ini akan ditunjukkan melalui siri video dengan menampilkan sistem pembedahan da Vinci Xi dan MAKO serta perkhidmatan yang disediakan.

Selain itu, hospital terbabit akan menganjurkan pameran 'Shaping the Future of Surgery' dari 12 Jun hingga 13 Julai ini bagi membolehkan orang ramai berpeluang melihat sendiri bagaimana pembedahan robotik, insisi terbuka (open incision) dan pembedahan lubang kunci dijalankan melalui kaedah simulasi realiti maya (VR).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 7:00 AM