REAKSI  kecewa  pemain negara selepas tamat perlawanan  menentang Tajikistan. FOTO Bernama
REAKSI kecewa pemain negara selepas tamat perlawanan menentang Tajikistan. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Maaf kepada semua penyokong kerana tidak dapat menghadiahkan kejuaraan." Itu luahan kekecewaan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas melihat pemainnya tumbang 0-2 di tangan Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Katanya, pemain negara sudah memberikan segala-galanya dengan mempamerkan aksi terbaik namun gagal diterjemahkan kepada kemenangan.

Malah beliau akui beberapa kesilapan menyaksikan pasukan negara terpaksa menggigit jari.

"Kita tidak berjaya (memenangi perlawanan), dan sebagai jurulatih saya ingin mohon maaf. Berdasarkan keputusan kita bermain mengikut falsafah permainan kita, pasukan mendominasi permainan dan beraksi baik.

"Ada sedikit kesilapan dan kita akan perbaiki kelemahan itu, di mana saya sentiasa tekankan mentaliti kemenangan," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam aksi itu, Malaysia yang menghuni tangga 134 dunia gagal menjuarai Pestabola Merdeka sekali gus meranapkan rekod bersih anak buah Pan-gon dalam tujuh aksi terdahulu.

Malah ia juga meneruskan badi kejuaraan skuad senior di pentas antarabangsa di mana kali terakhir menjulang trofi pada 2010 menerusi kejayaan memenangi Piala AFF.

Gol Tajikistan yang berada di kedudukan 110 dunia diraih menerusi Soirov Rustam pada minit 44 hasil rembatan leret yang sama sekali gagal dihalang Syihan Hazmi.

Jaringan kedua pula disumbangkan Samiev Shahrom di hujung permainan apabila bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan negara Dominic Tan dan Syihan, sekali gus menghampakan 36,558 penyokong tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 12:45 AM