SUHAIMI cemerlang bersama Terengganu FC. FOTO AIZUDDIN SAAD
SUHAIMI cemerlang bersama Terengganu FC. FOTO AIZUDDIN SAAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Prestasi cemerlang ditampilkan penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi Husin membolehkan dirinya dipanggil buat pertama kali bagi menyertai latihan pusat skuad Harimau Malaya menjelang Pestabola Merdeka yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dari 13 sehingga 17 Oktober ini.

Keputusan pengendali negara, Kim Pan-gon menyenaraikan Suhaimi sememangnya tepat selepas pemain skuad Penyu itu mempamerkan aksi cemerlang terutama ketika saingan Piala Malaysia dan perlawanan pertama Piala AFC ketika bertemu kelab Australia, Central Coast Mariners FC.

''Prestasi Suhaimi yang cemerlang di saingan liga dan prestasi beliau berada di tahap terbaik maka disebabkan itu, dirinya berhak mendapat panggilan ke skuad kebanggsaan," kata Pan-gon.

Suhaimi satu-satunya pemain yang pertama kali dipanggil berbanding pemain lain yang pernah dipanggil ke kem kebangsaan sebelum ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu mengekalkan 21 daripada 25 pemain yang pernah dipanggil ke kem latihan pusat terdahulu bag Perlawanan Antrabangsa Tier 1 sebelum ini.

Selain itu, tiga pemain skuad Bawah 23 tahun (B-23) turut dipilih untuk bersama-sama dalam kejohanan ini iaitu Azam Azmi Murad, Mukhairi Ajmal Mahadi dan Nooa Laine

Kejohanan Pestabola Merdeka membabitkan tiga pasukan di ranking lebih baik iaitu India (102), Palestin (97) dan Tajikistan (110).

Harimau Malaya bertemu India dalam perlawanan pertama pada 13 Oktober dan jika menang, Malaysia bakal beraksi di final pada 17 Oktober antara Palestin ataupun Tajikistan untuk merebut trofi Pestabola Merdeka. Kesemua perlawanan berlangsung di SNBJ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 8:00 PM