Sudirman Mohd Tahir dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Shah Alam: Harian Metro bersama-sama Affin Islamic Bank Berhad (Affin Islamic) meneruskan usaha menyantuni pelajar kurang berkemampuan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menyampaikan bantuan 35 komputer riba.

Penyampaian sumbangan dibuat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Islamic - Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba dan Data Internet yang diadakan di Kompleks At-Tijarah, kampus cawangan UiTM Puncak Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menariknya, ini kali ke-10 Kumpulan Affin bekerjasama dengan Harian Metro bagi menjayakan program TKHM.

Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad Musa Abdul Malek berkata, sumbangan itu amatlah bertepatan bagi membolehkan pelajar menjadi lebih produktif dalam pembelajaran mereka.

PEMBANGUNAN Kompleks Affin-UiTM AT-Tijarah meneruskan visi UiTM untuk menawarkan kemudahan infrastruktur.
PEMBANGUNAN Kompleks Affin-UiTM AT-Tijarah meneruskan visi UiTM untuk menawarkan kemudahan infrastruktur.

"Sudah tentu, kami amat berbesar hati dengan kerjasama ini yang mana dapat memanfaatkan pelajar dalam meningkatkan akses kepada kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta mempersiapkan diri dengan sebanyak ilmu sebelum memasuki alam pekerjaan.

"Kami menyedari komputer riba adalah alat keperluan yang sangat penting untuk pelajar menyiapkan kertas kerja dan menimba ilmu. Seiring dengan era digitalisasi, sumbangan 35 komputer riba ini amatlah bertepatan untuk membolehkan pelajar menjadi lebih produktif.

"Diharapkan kemudahan komputer riba berserta data internet selama setahun ini, bakal memberi manfaatkan kepada pelajar dalam meneruskan pembelajaran tanpa sebarang kekangan dan kekurangan," katanya.

Pada masa sama, Musa amat menghargai hubungan dan kerjasama erat yang sudah lama terjalin dengan UiTM.

"Hubungan erat Affin dengan UiTM sudah lama terjalin sejak awal tahun 90-an. Affin Bank adalah bank perintis yang membuka cawangan di kampus induk UiTM Shah Alam. Sekitar akhir tahun 90-an sehingga pertengahan tahun 20-an, Affin Bank juga adalah bank utama yang diberi amanah memastikan pelajar pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima wang pengajian mereka.

"Oleh itu, Affin amat menghargai hubungan dan kerjasama erat yang sudah lama terjalin dengan UiTM. Dengan pembangunan Kompleks Affin-UiTM AT-Tijarah, kami dapat meneruskan visi UiTM untuk menawarkan kemudahan infrastruktur yang kukuh kepada pelajar dan masyarakat sekitar," katanya.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan pihak Affin Islamic dalam program virtue education bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan di UiTM untuk mengikuti sesi pengajian secara lebih kondusif dan lebih efektif.

"Harian Metro berasa amat teruja kerana diberi peluang untuk sama-sama turun padang dan menyantuni pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan ini kerana kami sedar tanggungjawab untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada pelajar bukan sahaja terletak di bahu pihak institusi pengajian dan Kementerian Pendidikan semata-mata, tetapi ini adalah tanggungjawab semua pihak.

"Sebagai rakan media, kami berperanan sebagai 'jambatan' atau 'penghubung' serta pembuka jalan kepada rakan strategik dengan masyarakat.

"Tugas kami di Harian Metro bukan sekadar menyampaikan maklumat dan berita semasa, tetapi kami turut menjalinkan kerjasama dengan rakan korporat, termasuk agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk sama-sama menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan bagi membantu golongan yang memerlukan, tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.

Menurutnya, program sumbangan ini diharapkan dapat memberi keselesaan dan memudahkan urusan pelajar dalam menyiapkan tugasan sekali gus dapat meningkatkan motivasi mereka untuk menuntut ilmu, kepakaran, seterusnya menamatkan sesi pengajian dengan keputusan yang cemerlang.

Naib Canselor, UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibudin berkata, sumbangan ini dapat membantu dalam kelangsungan pendidikan mahasiswa mempunyai akses ke pendidikan digital yang setara melalui sesi pembelajaran dengan lebih kondusif.

"Seperti yang kita sedia maklum, hubungan kerjasama antara Harian Metro dan Kumpulan Affin sudah terjalin lama, bermula dari 2016.

"Hubungan yang erat ini terus diperkukuh melalui kejayaan mereka dalam melaksanakan program berbentuk kemasyarakatan.

"Pada tahun ketiga program virtue education dilaksanakan dengan kerjasama antara Harian Metro dan Affin Islamic ini, sebanyak 35 unit komputer riba serta data internet percuma selama setahun disumbangkan kepada pelajar UiTM.

"Semoga sumbangan ini dapat membantu dalam kelangsungan pendidikan mahasiswa mempunyai akses ke pendidikan digital yang setara melalui sesi pembelajaran dengan lebih kondusif. Di samping, menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka dalam era digitalisasi pendidikan dan seterusnya menyumbang semula kepada masyarakat," katanya.

PELAJAR yang menerima sumbangan komputer riba bergambar kenangan pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Affin Islamic. - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR
PELAJAR yang menerima sumbangan komputer riba bergambar kenangan pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Affin Islamic. - Gambar NSTP/FAIZ ANUAR

Selain UiTM, pihak penganjur turut menyampaikan sumbangan bantuan yang sama kepada pelajar asnaf di kampus induk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada November tahun lalu.

Kerjasama dalam virtue education ini bermula pada 2022, di mana pihak Affin Islamic menyerahkan sumbangan komputer riba dan data internet percuma kepada pelajar sekolah menengah atas di negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Affin Islamic, Musa Abdul Malek, Pengarang Eksekutif (Kandungan) Harian Metro Muhamad Safar Ahmad dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibudin.

Hadir sama Pengarah Pembangunan Pelajar, Prof Madya Dr Mohamed Noor Jalil; Pemangku Bendahari UiTM, Junita Jamaludin dan Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif, Perbankan Korporat Kumpulan Affin Bank Berhad, Hanif Mohd Yusof dan Pengarah Eksekutif, Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Berhad, Mohammad Fairuz Mohd Radi serta Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Harian Metro, Yusri Abdul Malek; Pengurus Besar Operasi Perniagaan, Sokongan Jualan dan Pemasaran, The New Straits Times Press (M) Berhad, Aswan Abdul Kadir dan Pengarang Berita Kanan merangkap Pengarah TKHM, Noor Azam Ab Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:45 AM
MUHAMAD Safar  (dua dari kiri) bersama  Dr Shahrin (dua dari kanan) dan  Musa (kanan) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar.
MUHAMAD Safar (dua dari kiri) bersama Dr Shahrin (dua dari kanan) dan Musa (kanan) menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar.