LIM (kiri) menyampaikan sumbangan susu  kepada penerima menerusi misi bantuan yang digerakkan ke seluruh negara.
LIM (kiri) menyampaikan sumbangan susu kepada penerima menerusi misi bantuan yang digerakkan ke seluruh negara.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Lakukan kerja amal dengan cara berbeza dengan memberikan sedekah susu bayi kepada golongan miskin.

Itu antara usaha murni, Klaus Lim, 36, yang juga dikenali Abang Susu bagi merealisasikan misi bantuan susu dilakukan sejak lima tahun lalu.

Pengalaman berdepan hidup miskin dan sukar mendapatkan makanan ketika kecil menjadi inspirasi kepadanya untuk membantu golongan daif.

Lim berkata, dia menyedari terdapat ramai bayi tidak mendapat susu mencukupi berpunca kekangan kewangan ketua keluarga dan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Menurutnya, dia terpanggil meneruskan misi itu melalui khidmat masyarakat bagi menyalurkan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.

"Inisiatif ini diadakan sejak awal pandemik Covid-19 lalu apabila saya melihat ramai rakyat tidak bekerja dan berdepan kesusahan menyara keluarga.

"Setakat ini pihak kami menyalurkan bantuan susu kepada lebih 10,000 bayi di setiap negeri di Semenanjung Malaysia. Saya turut menyasarkan 10,000 lagi bayi tahun ini selain memperluaskan usaha ke Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurutnya, inisiatif itu dilakukan menerusi badan bukan kerajaan (NGO) WellSpring Buildtrip Sdn Bhd.

"Bagi merealisasikan misi ini, saya dibantu beberapa NGO lain antaranya Pertubuhan Kebajikan Sinar Harapan, Batu Pahat, Johor bersama 20 sukarelawan.

"Pihak kami juga menyalurkan bantuan susu kepada bayi di Thailand dan Kemboja termasuk membantu rakyat di negara ini yang berdepan masalah kesihatan serta tiada wang.

"Ada antara mereka berdepan masalah mendapatkan rawatan di hospital dan klinik akibat diserang penyakit jantung, kanser dan penyakit kritikal lain," katanya.

Atas inisiatif itu, Lim pernah mendapat pengiktirafan Best Intelligent Figure 2023 dari Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) dan Anugerah Bantuan Susu Tepung Terbanyak dari Malaysia Book of Record pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:59 AM