ANTARA makanan untuk meningkatkan kesihatan usus.
ANTARA makanan untuk meningkatkan kesihatan usus.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KITA sudah biasa mendengar mengenai pentingnya kesihatan usus untuk tubuh.

Ia dapat melindungi badan daripada penyakit dan membantu tubuh menyerap nutrien.

Namun tahukah anda usus memainkan peranan penting untuk kesihatan minda?

Jutaan bakteria dalam usus berperanan dalam menentukan mood atau perasaan seseorang.

Pakar Pemakanan LAC Malaysia, Cynthia Jetan berkata, usus manusia mengandungi ekosistem kompleks dikenali sebagai mikrobiota usus dan ia menghasilkan sebahagian besar serotonin iaitu hormon membuatkan seseorang itu rasa gembira.

Ia bermakna apabila usus sihat dengan nutrien yang baik, mood atau perasaan seseorang itu akan turut gembira.

Jadi, tidak menghairankan jika perasaan lapar sering membawa kepada perasaan marah.

"Kesihatan usus dan kesihatan minda kita berkait rapat melalui apa yang dipanggil paksi usus-otak iaitu satu saluran komunikasi antara sistem pencernaan dan otak.

"Usus kita juga dikenali sebagai 'otak kedua' kerana ia mempunyai jutaan bakteria bekerjasama dengan otak.

"Ia menggunakan sistem saraf sama dengan otak untuk membantu mencerna makanan dan memberi isyarat ke otak bila ada yang tidak kena," katanya.

Menurut Cynthia lagi, sistem antara usus dan otak membolehkan komunikasi berterusan termasuk sistem saraf, sistem pertahanan badan, dan sistem endokrin.

Kata Cynthia, sistem terakhir itu penting untuk kesihatan minda di mana mikrobiota dalam usus membantu dalam penghasilan neurotransmitter penting.

"Misalnya, ia membantu penghasilan serotonin, iaitu neurotransmitter yang membantu mengawal mood, selera makan dan tidur kita.

"Begitu juga dengan asid gamma-aminobutyric (GABA), sejenis neurotransmitter yang membantu menenangkan sistem saraf dan mengurangkan kecemasan.

"Kemudian, dopamin iaitu neurotransmitter yang kebiasaannya dikaitkan dengan keseronokan, sebahagian daripadanya juga dihasilkan di dalam usus kita," katanya.

Dalam pada itu, pernahkah anda merasakan perasaan berdebar-debar di perut ketika berasa gugup?

Ia berlaku kerana usus memberi isyarat kepada otak, menunjukkan hubungan yang mendalam antara kesihatan usus dan kesejahteraan mental.

Justeru, apabila seseorang itu mengabaikan kesihatan usus, ia menyebabkan ketidakseimbangan, sekali gus mengakibatkan usus gagal menghasilkan neurotransmitter penting.

Cynthia berkata, ketidakseimbangan mikrob usus mengakibatkan tahap serotonin dan dopamine yang rendah dalam sistem badan.

Katanya, jika lebih banyak bakteria jahat daripada baik dalam usus, ia juga boleh menyebabkan keradangan, mengganggu komunikasi antara usus dan otak.

"Keradangan melepaskan bahan kimia yang mempengaruhi fungsi otak, termasuk pengawalan mood.

"Paksi usus-otak menghasilkan simptom-simptom itu kerana apabila kita berasa gelisah, takut, teruja, atau gugup, kita rasakan dahulu di dalam perut," katanya.

Bagi menjaga kesihatan usus dan meningkatkan lagi kesejahteraan mental, orang ramai disarankan supaya mengambil makanan yang yang kaya dengan antioksidan seperti buah beri, sayur kale dan telur.

Orang ramai juga perlu mengambil makanan yang kaya dengan kandungan serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh dengan mengelakkan makanan berproses, tinggi gula mahupun alkohol dalam diet hari

an masing- masing.

Katanya, orang ramai boleh juga mempertimbangkan makanan yang difermentasikan untuk menggalakkan pertumbuhan mikrob sihat seperti yogurt, kimchi, tempe dan kombucha kerana ia mengandungi mikrob sihat yang baik untuk usus

Untuk pelaburan dalam kesihatan usus, orang ramai disarankan supaya mengambil prebiotik dan probiotik.

"Probiotik misalnya membantu mengembalikan keseimbangan bakteria baik dan membantu memecahkan makanan, meningkatkan penyerapan nutrien dan mengatur pergerakan usus untuk pencernaan lebih baik.

"Ia juga terbukti mengurangkan gejala gangguan pencernaan seperti sindrom usus sensitif (IBS), penyakit usus inflamasi (IBD), cirit-birit dan sembelit.

"Pada masa sama, probiotik membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria bermanfaat yang akan menghalang pertumbuhan patogen berbahaya dalam usus, sekali gus membina perlindungan lebih kuat," katanya.

Sebagai panduan, untuk memilih probiotik yang betul, Cynthia mencadangkan supaya mengenal pasti keperluan diri sama ada untuk penyelenggaraan atau untuk menangani isu tertentu.

Ini kerana ada banyak suplemen probiotik mengandungi strain yang biasa seperti lactobacillus dan bifidobacterium, dan garis panduan umumnya untuk mengambil antara satu bilion hingga 30 bilion unit pembentukan koloni (CFUs) setiap hari.

"Dengan peningkatan usia, komposisi bakteria usus turut berubah, menyebabkan pengurangan dalam bilangan bakteria usus yang bermanfaat.

"Itulah sebabnya disyorkan untuk mempertimbang suplemen probiotik mengandungi pelbagai strain disesuaikan dengan keperluan individu untuk menerima jumlah bakteria yang baik untuk kesihatan usus mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:20 AM