PELBAGAI motosikal gaya vintaj.
PELBAGAI motosikal gaya vintaj.
Lizam Ridzuan


Acara tunggangan amal antarabangsa Distinguish Gentlemans Ride (DGR) 2024 kembali diadakan dan untuk edisi di Malaysia, ia diadakan di beberapa lokasi dan salah satunya ialah ke Genting Highlands.

Acara ini yang diadakan sejak 11 tahun lalu oleh Mark Hawwa di Australia menyatukan penunggang motosikal gaya klasik dan vintaj kekal menjadi acara tahunan sehingga kini.

Bukan sekadar aktiviti tunggangan motosikal biasa, ianya bagi tujuan mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran tentang kanser prostat serta kesihatan mental lelaki oleh organisasi dikendalikan oleh Movember.

Konvoi ke Genting Highland dari Doplohtiga Space, Kuala Lumpur adalah penganjuran Doplohtiga Group menerusi pengasasnya Ahmad Zaidi Masri dengan kerjasama beberapa organisasi badan bukan kerajaan (NGO) seperti MyFundAction.

ZAIDI (kiri) dan Wak Doyok (paling kanan) ketika taklimat kepada peserta DGR 2024.
ZAIDI (kiri) dan Wak Doyok (paling kanan) ketika taklimat kepada peserta DGR 2024.

Kali ini sumbangan bukan sahaja bagi kesihatan mental lelaki dan kanser prostat, malah turut menyumbang untuk mangsa peperangan di Gaza, Palestine melalui badan itu yang pertama kali bekerjasama dalam acara permotoran.

Ikon fesyen dan selebriti Wak Doyok juga menyertai aktiviti tunggangan ini selain sokongan kelab-kelab motosikal seperti Naked13 Cafe Racer, King Cobra dan banyak lagi.

Lebih 300 penunggang motosikal dengan pakaian gaya 'dappers' mennyusuri lebuh raya Gombak menuju ke Genting Sempah untuk lokasi singgahan pertama bagi sesi taklimat sebelum meneruskan tunggangan ke Genting Highlands.

Selain perekat DGR 2024 peserta juga diberi kain lilitan tangan sebagai simbolik tunggangan untuk tujuan amal dan kebaikan.

Setibanya di satu kawasan yang dituju di kaki Genting, peserta berhenti dan berkumpul sambil menikmati kopi percuma dan mendengar sesi perkongsian daripada Klinik Insan tentang kanser prostat dan kesihatan mental.

Selesai sesi bergambar dan video, peserta melakukan aktiviti bebas dan ada yang meneruskan tunggangan ke puncak Genting Highlands selain menikmati makan tengah hari.

Peserta konvoi kemudian bergerak turun sekitar jam 1 tengah hari dan pulang ke destinasi masing-masing dalam keadaan baik dan terkawal.

LEBIH 300 penunggang sertai DGR Genting Highlands.
LEBIH 300 penunggang sertai DGR Genting Highlands.

Untuk sesi DGR Genting Highlands sejumlah RM5,000 sumbangan berjaya dikumpulkan oleh 'riders' yang hadir pada hari itu.

Sejak 2012 acara DGR seluruh dunia berjaya mengumpulkan ASD45 juta, 500,000 penyertaan serta penglibatan lebih 121 negara.

Tahun lalu adalah rekod sumbangan tertinggi sebanyak ASD7.45 juta (RM140 juta) melibatkan 893 bandar serta 107 negara.

Selain motosikal, Doplohtiga juga sebagai penganjur Distinguished Gentleman's Drive KL sejak 2021 dengan konvoi kereta klasik dan vintaj dan ia bakal diadakan pada September hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:14 AM