ISLAM menolak segala bentuk ekstremisme dan menganjurkan kehidupan harmoni.
ISLAM menolak segala bentuk ekstremisme dan menganjurkan kehidupan harmoni.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Kesesatan sesuatu pemikiran bukan hanya semata-mata apabila ia melanggar perkara yang sudah maklum dalam agama Islam secara darurat (al-ma'lum min ad-din bi ad-dharurah), tetapi kesesatan juga berlaku apabila sesuatu pemikiran itu mengamalkan fahaman yang ditolak oleh ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ). Antara fahaman yang ditolak itu ialah fahaman ekstremisme. Fahaman ekstremisme berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya berasa diri adalah yang paling benar sehingga timbul sikap mudah menuduh orang lain sebagai salah. Ini adalah faktor utama yang diketahui berdasarkan hadis Nabi SAW.

Abu Said al-Khudri RA menceritakan: "Ketika kami bersama Rasululluh SAW dan baginda sedang membahagikan sesuatu (harta rampasan perang), datanglah Zul Khuwaisirah, seorang lelaki daripada Bani Tamim kepada baginda, lalu berkata, 'Wahai Rasulullah, berbuat adillah!' Lalu baginda menjawab: 'Celaka kamu, siapakah yang akan berlaku adil, jika aku sendiri tidak berlaku adil? Pasti kamu telah kesal dan rugi jika aku tidak berlaku adil'. Lantas Umar RA berkata, 'Wahai Rasulullah, izinkanlah aku penggal lehernya'. Namun, baginda menjawab: 'Biarkan dia! Sesungguhnya dia memiliki pengikut yang seseorang daripada kamu akan menganggap sedikit solatnya dibandingkan dengan solat mereka dan puasanya dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, tetapi ia tidak melepasi halkum mereka (tidak masuk ke hati dan akal). Mereka keluar daripada agama, sebagaimana anak panah keluar daripada busurnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Meskipun perkataan lelaki itu pendek dan ringkas sahaja, namun ia mencerminkan perihal dalaman dirinya yang amat bahaya, iaitu berasa dirinya adalah yang paling benar sehingga sanggup menuduh Rasulullah SAW berbuat salah meskipun dia dan pengikutnya memiliki amal ibadat luar biasa.

Dalam riwayat lain diberitakan, ketika Ali RA mengirim sejumlah emas kepada Nabi SAW, baginda telah membahagikannya kepada empat pemuka penduduk Najd. Lalu, orang Quraisy dan Ansar berasa marah. Kata mereka: "Baginda memberi kepada para pemuka penduduk Najd itu dan mengabaikan kita." Namun, baginda bersabda: 'Sesungguhnya aku hanya mahu menjinakkan hati mereka (dengan Islam)'. Lalu datang seorang lelaki yang kedua-dua matanya menjorok ke dalam, kedua-dua tulang pipinya menonjol, dahinya ketara, janggutnya lebat dan kepalanya dicukur, seraya berkata: 'Bertakwalah kepada Allah, wahai Muhammad!' Lalu baginda membalas: 'Siapakah yang akan mentaati Allah sekiranya aku sendiri menderhakai-Nya? Adakah patut Allah memberi kepercayaan kepadaku untuk memimpin penduduk bumi, sementara kamu sekalian tidak mempercayaiku?' Lantas seorang lelaki, aku kira dia adalah Khalid bin al-Walid RA, meminta izin untuk membunuhnya. Namun, baginda melarang beliau. Setelah orang tadi pergi, baginda bersabda: 'Sesungguhnya daripada asal usul orang ini atau dalam keturunan orang ini nanti akan ada satu kaum yang membaca al-Quran, namun ia tidak melepasi tenggorok mereka (tidak masuk ke hati dan akal). Mereka keluar daripada agama bagaikan keluarnya anak panah daripada busur. Mereka akan membunuh orang Islam dan membiarkan para penyembah berhala. Seandainya aku sempat bertemu dengan mereka pasti aku akan bunuh mereka sebagaimana binasanya kaum Ad (tiada seorang pun yang tinggal)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Perkataan pendek dan ringkas lelaki itu jelas menunjukkan satu masalah dalaman pada dirinya, iaitu berasakan dirinya adalah yang paling baik sehingga sanggup menuduh Rasulullah SAW kurang bertakwa. Semua ini jelas menunjukkan bahawa bibit-bibit fahaman ekstrem sudah muncul pada zaman Rasulullah SAW lagi. Bahkan, baginda turut mengisyaratkan kemunculannya pada masa akan datang dalam skala yang lebih besar.

Kumpulan ekstrem ini pertama kali menjadi nyata pada zaman Khalifah 'li bin Abi Talib RA ketika berlaku pertikaian antara beliau dengan Muawiyah bin Abi Sufyan sehingga membawa kepada Perjanjian Tahkim. Rentetan daripada itulah, muncul golongan Khawarij yang tidak berpuas hati dengan perjanjian serta memerangi kedua-dua belah pihak.

Meskipun kini golongan Khawarij sudah tiada, pemikiran ekstrem mereka masih kekal wujud dan terus berkembang. Ia turut dikenali sebagai fahaman Neo Khawarij. Ciri khas pemikiran ini pada masa kini tidak jauh bezanya dengan masa lalu, iaitu berasa kumpulannya adalah yang paling benar hingga mudah menuduh orang lain melakukan bidaah sesat (tabdi') atau terkeluar daripada Islam (takfir). Jika ini sudah sebati, amat mudahlah ia untuk naik ke satu tahap yang lebih radikal, iaitu membunuh orang yang dituduh sebagai pelaku bidaah sesat atau terkeluar daripada Islam itu atas nama jihad fi sabilillah.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 5:59 AM