Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menari bersama etnik orang asli pada Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall hari ini. FOTO BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menari bersama etnik orang asli pada Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall hari ini. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Lebih 300 Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara kini sedang melaksanakan aktiviti ekonomi bagi pemerkasaan komuniti.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata aktiviti ekonomi RT itu membabitkan projek pertanian (kebuniti), penghasilan produk makanan, minuman, kesihatan, kraftangan, perkhidmatan katering, dan Community Based Tourism (CBT).

"Fasa 1 terdapat 116 RT di seluruh negara telah pun dikenal pasti untuk dijadikan Model RT Progresif.

"RT Progresif ini dijangkakan akan memacu kecemerlangan dalam khidmat komuniti dan kerja kemasyarakatan melalui lapan bidang tumpuan yang merangkumi ekonomi dan sara hidup; keselamatan dan ketahanan Komuniti; kepimpinan; kesejahteraan Komuniti; pembelajaran sepanjang hayat; alam sekitar; warisan dan budaya; dan daya cipta.

"Sehubungan dengan itu, saya memohon jasa baik Perdana Menteri dapat mempertimbangkan peruntukan khas melalui Dana Komuniti Madani bagi tujuan pemerkasaan dan projek ekonomi Rukun Tetangga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, malam ini.

Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam pada itu, Aaron berkata, keharmonian perlu dipelihara, dipupuk dan diterapkan dalam diri bermula daripada diri sendiri dan kemudian diwariskan kepada generasi seterusnya.

Katanya, perpaduan seharusnya menjadi cara hidup dan amalan semua dan ia adalah asas utama yang berupaya menguatkan seluruh rakyat Malaysia menjadi anak watan dengan semangat jati diri yang tinggi.

"Kita semua perlu ingat, setiap daripada kita bertanggungjawab dan berperanan dalam menjaga keharmonian, kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara yang dicintai.

"Saya berharap semua pihak dapat menghayati prinsip faham dan terima dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 12:29 AM