KIM Pan-gon. FOTO BERNAMA
KIM Pan-gon. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon akan memastikan skuad kendaliannya tampil lebih agresif untuk memburu kemenangan sekali gus menjuarai Kejohanan Pestabola Merdeka di hadapan penyokong sendiri.

Meskipun berhadapan dengan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dari Malaysia, Pan-gon sama sekali tidak gentar.

"Bermain di gelanggang sendiri perlu ada mentaliti untuk menang, perlu fokus dan terus berjuang memburu kemenangan.

"Saya tidak mahu kalah apabila bermain di gelanggang sendiri meskipun bertemu dengan pasukan yang berada di kedudukan sekitar 90 atau 100 dunia, kita akan beri saingan sehingga menang," katanya pada sidang media hari ini.

Pan-gon berpendapat ketiga-tiga pasukan yang bertanding dalam kejohanan itu begitu hebat terutama India yang dilihat bekerja keras dan beliau menjangkakan akan menghadapi perlawanan yang sengit.

"Kita perlu berhadapan dengan pasukan seperti ini kerana kita boleh belajar sesuatu dengan mereka dan saya optimis kita boleh menang dan layak ke final sekali gus muncul juara," kata Pan-gon.

Tambah pengendali dari Korea Selatan itu, beliau menyeru kesemua penyokong untuk hadir memenuhkan stadium dan memberikan sokongan kepada pasukan kerana pemain akan berjuang sehabis baik untuk penyokong.

Kejohanan itu menampilkan tiga pasukan terbaik dan mempunyai ranking lebih tinggi dari Malaysia iaitu Palestin (97), Tajikistan (110) dan India (102).

Ini peluang terbaik buat Malaysia melakukan persediaan sebelum melangkah kepusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan.

Kejohanan Pestabola Merdeka akan berlangsung pada 13 hingga 17 Oktober dan kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Harimau Malaya akan bertemu India dalam perlawanan pertama pada 13 Oktober dan jika menang, Malaysia bakal beraksi di final pada 17 Oktober menentang antara Palestin ataupun Tajikistan untuk merebut trofi Pestabola Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 8:14 PM