SKUAD Harimau Malaya kini menduduki ranking ke-137 dunia. FOTO FB FAM
SKUAD Harimau Malaya kini menduduki ranking ke-137 dunia. FOTO FB FAM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Padah kekalahan 0-2 di tangan Tajikistan di final saingan Pestabola Merdeka, minggu lalu, ranking Harimau Malaya turun tiga anak tangga.

Berdasarkan kemaskini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), anak buah Kim Pan-gon turun ke tangga 137 berbanding 134 sebelum ini.

"Kemas kini terbaharu ranking Fifa hari ini, Malaysia di tangga ke-137 dunia, turun tiga anak tangga berbanding 134 pada kemas kini terdahulu pada 21 September 2023," kata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook.

Dalam saingan Pestabola Merdeka yang berstatus aksi persahabatan Tier 1 itu, Malaysia membenam India yang berada di tangga ke-101 menerusi keputusan 4-2 pada aksi pertama.

Bagaimanapun, rentak positif itu gagal diteruskan apabila tumbang di tangan Tajikistan yang menduduki posisi ke-111 sebelum ini.

Penurunan ranking itu pastinya memberi sedikit tekanan buat pasukan negara yang bakal mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 November depan.

Selepas berdepan Kyrgyzstan, skuad negara bertandang ke Taiwan bagi aksi Kumpulan D itu, dengan perlawanan menentang satu lagi pasukan iaitu Oman pada Mac tahun depan.

Skuad kendalian Pan-gon dalam persiapan untuk beraksi di Piala Asia Qatar, Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 4:53 PM