KETUA jurulatih India, Igor Stimac.
KETUA jurulatih India, Igor Stimac.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali India, Igor Stimac ternyata berkecil hati terhadap bentuk layanan diterima pasukannya sepanjang tempoh berada di Malaysia untuk mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Beliau berkata, pihak penganjur seharusnya menyediakan kemudahan dan layanan terbaik kepada pasukan bertanding dalam usaha menjaga reputasi besar dimiliki kejohanan Pestabola Merdeka.

"Pasukan lawan tidak diberikan padang yang baik untuk berlatih, kami juga harus menempuhi perjalanan sejauh sejam setengah setiap hari untuk ke padang latihan.

"Selain itu, lokasi padang latihan juga berubah-ubah setiap hari, jadi perkara kecil seperti ini sepatutnya tidak berlaku kepada kejohanan yang baik seperti ini," katanya.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya membuktikan ranking hanyalah sekadar nombor apabila membaham pasukan dikedudukan ke 102 dunia 4-2, malam tadi.

Jelas sekali taktikal pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon terbukti berkesan untuk menyekat pasukan hebat seperti India sekali gus menempah slot menentang Tajikistan pada aksi final Pestabola Merdeka 2023, Selasa ini.

Empat gol pasukan kebangsaan disumbangkan kapten pasukan Dion Cools, Ariff Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Corbin Ong manakala dua jaringan pasukan India disempurnakan Mahesh Singh dan Sunil Chhetri.

Selain itu, Stimac berkata, beliau agak sedih melihat keadaan padang SNBJ walaupun venue berkenaan kelihatan cantik dan memiliki fasiliti yag baik.

"Pasukan Malaysia memiliki stadium yang cantik dan fasiliti juga adalah baik namun sayangnya keadaan padang pula teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:03 PM