NAZMI dipilih adili Piala Asia 2023, Qatar, Januari tahun depan. -FOTO NSTP
NAZMI dipilih adili Piala Asia 2023, Qatar, Januari tahun depan. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berharap lebih ramai pengadil bakal mengikut jejak langkah Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang akan ke Piala Asia 2023, Qatar, Januari tahun hadapan.

Hamidin juga turut menasihatkan Muhd Nazmi dan dua pembantunya berkaitan dengan aspek prestasi semasa perlawanan, keberadaan kecergasan pada tahap optimum dan sikap profesionalisma yang patut ada pada diri seorang pengadil bertaraf dunia.

Beliau berkata, FAM akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada pengadil di negara ini untuk mereka terus mencapai tahap tertinggi di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"AFC memilih Nazmi dan dua pembantunya untuk mengalas tugas pada Piala Asia di Qatar pada Januari 2024 yang mana ia satu pengiktirafan dan diharap akan terus menjadi pemangkin kemajuan pengadil bola sepak Malaysia.

"Menjadi harapan kami untuk melihat lebih ramai pengadil Malaysia memegang tugas utama dalam perlawanan antarabangsa terutama di Kejohanan Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa bersarapan dengan Muhammad Nazmi, Mohamad Zairul dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid di Wisma FAM, hari ini.

Sebelum ini, AFC juga memilih Nazmi dan pembantunya untuk perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 di Thailand antara Pasukan Buriram United dengan Zhejiang FC dan aksi Navbahor menentang Mumbai City FC di India.

Nazmi juga dilantik untuk mengendalikan perlawanan seterusnya di China pada 24 Oktober dengan semua perlawanan ACL 2023/24 akan menggunakan sistem video bantu pengadil (VAR).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 5:33 PM