NAZMI (tiga dari kanan) bersama dua pembantu pengadil dari Malaysia ketika mengadili perlawanan Kumpulan D antara Iraq menentang Vietnam, baru-baru ini. FOTO FB FAM
NAZMI (tiga dari kanan) bersama dua pembantu pengadil dari Malaysia ketika mengadili perlawanan Kumpulan D antara Iraq menentang Vietnam, baru-baru ini. FOTO FB FAM
BERNAMA

Doha: Pengadil elit negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin diberi kepercayaan untuk mengadili pertembungan antara Uzbekistan dan Thailand pada perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, esok.

Muhammad Nazmi akan dibantu dua pembantu pengadil dari Malaysia, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid.

Perkara itu disahkan satu-satunya pakar teknikal pengadil pertandingan dari Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh ketika dihubungi Bernama, di sini.

Pada perlawanan esok, Omar Mohamed Ahmed Hassan Alali dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditugaskan sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) dan akan dibantu Khalid Saleh H Alturais dari Arab Saudi sebagai pembantu VAR.

Thailand yang membuat penampilan kedua berturut-turut di pusingan 16 terbaik Piala Asia, berpeluang menjadi wakil tunggal pasukan Asia Tenggara layak ke peringkat suku akhir selepas Indonesia tumpas 0-4 di tangan Australia, semalam.

Dalam pada itu, Uzbekistan mengintai untuk layak ke suku akhir buat kali keempat dalam usaha mencipta sejarah mara buat julung kali ke pentas separuh akhir.

Sebelum ini, Muhammad Nazmi yang dibantu Mohamad Zairul dan Mohd Arif turut diberi mandat mengadili perlawanan terakhir saingan Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam yang berkesudahan 3-2 berpihak Iraq dengan satu kad merah diberikan kepada pemain Vietnam, Khuat Van Khang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 9:01 PM