NAZMI (tiga dari kanan) bersama dua pembantunya mengadili aksi Buriram United dan Zhejiang FC yang berlangsung di Thailand, semalam. FOTO FB FAM
NAZMI (tiga dari kanan) bersama dua pembantunya mengadili aksi Buriram United dan Zhejiang FC yang berlangsung di Thailand, semalam. FOTO FB FAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengadil bola sepak profesional negara, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua pembantunya, mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24, menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR), semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Nazmi bersama pembantu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid, mengadili perlawanan di antara Buriram United dan Zhejiang FC yang berlangsung di Thailand.

"AFC (Piala Konfederasi Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), telah menetapkan syarat apabila semua pengadil yang dilantik untuk perlawanan tertinggi AFC dan FIFA, wajib memiliki lesen VAR.

"Nazmi telah memiliki lesen pengadil VAR sebelum ini melalui program latihan VAR di Arab Saudi pada Ogos lalu.

"Nazmi dan dua pembantunya itu akan terus dilantik untuk beberapa perlawanan AFC yang menggunakan VAR," menurut kenyataan itu.

FAM memaklumkan, sebelum ini AFC memilih Nazmi dan dua pembantunya itu untuk mengalas tugas pada Piala Asia 2023 di Qatar, pada Januari 2024.

Dalam pada itu, FAM memaklumkan pihaknya kini giat menjalankan latihan dan pendidikan VAR kepada 40 pengadil, yang dijangka akan tamat pada penghujung Disember ini.

"Perkembangan ini jelas menggambarkan inisiatif Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang berhasrat meletakkan FAM dan pengadil Malaysia di peringkat tertinggi di Asia dan dunia.

"Semoga pengadil bola sepak Malaysia akan terus diiktiraf di pentas tertinggi FIFA dan AFC," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 9:55 PM