AMIRUL antara pengadil yang akan mengendalikan perlawanan Kumpulan B. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
AMIRUL antara pengadil yang akan mengendalikan perlawanan Kumpulan B. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bukan hanya membabitkan skuad Harimau Malaya namun turut disertai pengadil Malaysia yang akan 'beraksi' pada perlawanan berlangsung di Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataannya memaklumkan bahawa tiga pengadil kebangsaan dipilih Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk bertugas sepanjang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Katanya, seorang lagi pengadil Malaysia pula dipilih oleh Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk mengendali tiga perlawanan di negara matahari terbit itu.

"Pengadil kebangsaan, Zairul Khalil Tan akan bertugas di dalam Kumpulan A di Sharjah, UAE sebagai penolong pengadil manakala Pengadil FIFA Amirul Izwan Yaacob dan Mohamad Yusri akan mengendalikan saingan di dalam Kumpulan B, masing-masing sebagai pengadil dan penolong pengadil perlawanan," katanya, menerusi kenyataan media.

Pusingan Kedua Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 terdiri daripada pasukan seperti China, Syria, Filipina, Maldives dan Guam bermula 30 Mei lalu manakala Kumpulan B pula terdiri daripada pasukan seperti Australia, Jordan, Taiwan, Kuwait dan Nepal dijadualkan sepak mula pada esok.

Sementara itu, Mohd Arif Shamil pula dilantik sebagai penolong pengadil bagi dua perlawanan Kirin Challenge Cup 2021 dan satu perlawanan persahabatan antarabangsa membabitkan pasukan Jepun menentang pasukan Jepun B-24 di Sapporo Dome, Hokkaido.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 9:59 PM