AFP

Riyadh: Bintang Brazil Neymar disambut oleh ribuan peminat Al-Hilal ketika dia menjadi pemain bola sepak terkenal dunia terbaru menyertai Liga Pro Saudi yang berbelanja besar.

Semburan bunga api menerangi langit Riyadh ketika penyerang itu muncul dengan jersi biru Al-Hilal di Stadium Antarabangsa King Fahd yang berkapasiti 68,000.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang menjadi pemain bola sepak termahal di dunia ketika dia menyertai Paris Saint Germain (PSG) pada 2017, melambai dan tersenyum kepada peminat ketika paparan dron yang dieja 'Neymar berwarna biru' terbang di atas venue

Selepas kehadirannya, bersama rakan-rakan baru, Malcolm dan Yassine Bounou, lampu stadium dinyalakan dan azan berkumandang menggunakan pembesar suara.

Neymar menyertai PSG milik Qatar dari Barcelona enam tahun lalu dengan bayaran rekod dunia sebanyak €222 juta (RM1.1 bilion) menjaringkan 118 gol dalam 173 perlawanan walaupun mengalami beberapa siri kecederaan.

Pemain Brazil itu akan dibayar £314 juta (RM1.84 bilion) sepanjang tempoh dua tahun - atau £2.5 juta (RM14.64 juta) seminggu.

PSG akan menerima £78 juta (RM456.81 juta) daripada perjanjian berkenaan, dengan presidennya, Nasser Al-Khelaifi melabelkan Neymar sebagai legenda kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2023 @ 1:43 PM