ANTARA Pati yang dihantar pulang ke negara asal. FOTO JIM Perak
ANTARA Pati yang dihantar pulang ke negara asal. FOTO JIM Perak
BERNAMA

Ipoh: Seramai 63 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari pelbagai negara yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing semalam.

Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada 42 lelaki dan 21 wanita berumur 18 hingga 50 tahun dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar pulang, selepas mereka selesai menjalani hukuman denda dan penjara.

Beliau berkata, kesemua mereka sebelum ini telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta diputuskan untuk dipindahkan ke negara asal di bawah akta dan peraturan yang sama.

"Mereka juga disenaraihitamkan bagi mencegah daripada memasuki semula ke negara ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, program penghantaran pulang itu sebahagian daripada aktiviti berterusan penguatkuasaan membanteras Pati yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) Perak bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Langkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:57 PM