Hamzah Ahmad ketika sidang media berkaitan PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap di IPD Seberang Perai Selatan, Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Hamzah Ahmad ketika sidang media berkaitan PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap di IPD Seberang Perai Selatan, Jawi. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung petugas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berkelakuan tidak senonoh terhadap seorang wartawan wanita di sebuah program di Sungai Kechil di sini, kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, berkata setakat ini tiga individu direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, sejurus kertas siasatan siap ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Ketika ini suspek berusia 30-an direman selama dua hari bermula semalam dan siasatan sudah di peringkat akhir yang kita juga akan membuat kawad cam hari ini.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.

Difahamkan, beberapa barangan peribadi milik suspek turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Semalam media melaporkan bahawa polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang berhubung kes berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, pihaknya tidak dimaklumkan berhubung insiden berkenaan namun memberi jaminan siasatan dijalankan secara profesional.

Terdahulu, seorang wartawan wanita sebuah rangkaian televisyen tempatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan berhubung insiden seorang lelaki yang juga petugas kempen pilihan raya berkelakuan tidak senonoh.

Kejadian berlaku ketika media sedang menemu ramah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang hadir pada majlis perjumpaan bersama pemimpin di Dewan Sungai Kechil, Sungai Bakap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:05 PM