Norde mahu pemain bawa semangat kemenangan untuk menentang Penang FC. -FOTO FB KDA FC
Norde mahu pemain bawa semangat kemenangan untuk menentang Penang FC. -FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar : Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Sony Norde menganggap peluang pertemuan suku akhir kedua Piala FA menentang Penang FC pada malam ini di Stadium Darul Aman masih lagi terbuka bagi merebut tempat ke peringkat separuh akhir musim ini.

Pemain import dari Haiti ini juga melihat aksi yang bakal dihadapi kedua-dua pasukan pastinya cukup sengit dengan Sang Kenari hanya membawa bekalan tipis satu gol ketika menang pada aksi suku akhir pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang minggu lalu.

"Meskipun kami mendahului dengan bekalan satu gol, namun keadaan itu masih dilihat seimbang dan belum menjamin apa-apa kerana apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

"Jadi kami perlu terus tingkatkan lagi keupayaan dan kekal fokus dalam aksi kedua ini untuk memastikan misi kami ke peringkat seterusnya tercapai," katanya.

Sony juga berkata pemain perlu membawa semangat kemenangan yang mereka perolehi pada aksi pertama lalu di tempat lawan dan turun dengan keyakinan lebih tinggi di laman sendiri kali ini.

"Motivasi kemenangan yang kami perolehi pada aksi lalu di tempat lawan sangat penting untuk kami bawa kembali untuk turun dengan lebih berkeyakinan dan bersemangat pada Jumaat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:09 PM