KEBANYAKAN golongan muda dibelenggu hutang seawal usia 19 tahun kerana terdorong ke arah aktiviti menyeronokkan seperti melancong, makan di luar, membeli peranti elektronik dan mengekalkan penampilan diri. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
KEBANYAKAN golongan muda dibelenggu hutang seawal usia 19 tahun kerana terdorong ke arah aktiviti menyeronokkan seperti melancong, makan di luar, membeli peranti elektronik dan mengekalkan penampilan diri. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Pada usia seawal 19 tahun sudah terjebak dengan beban hutang hanya kerana mahu mendapatkan perhatian dengan cara menonjolkan diri dan membuat hantaran di media sosial.

Ringkasan Berita
  • Remaja seawal usia 19 tahun terjebak dengan beban hutang kerana ingin menonjolkan diri dan mengikut trend media sosial, didorong mentaliti YOLO dan FOMO
  • Golongan muda berusia 19 hingga 30 tahun cenderung berhutang untuk melancong, makan di luar dan membeli peranti elektronik
  • Kajian FEWRC AKPK pada 2023 menunjukkan golongan berusia 30 hingga 40 tahun paling banyak dibantu melalui Program Pengurusan Kredit
  • Kad kredit adalah fasiliti tertinggi distrukturkan semula oleh AKPK (54%) diikuti pinjaman peribadi (33%), dan pinjaman perumahan (5%)
  • Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Kuala Lumpur, Mohd Nordin Abd Rahman berkata, keadaan itu berlaku disebabkan mentaliti You Only Live Once (Yolo) atau masa untuk mencuba menyebabkan mereka mahu melakukan apa yang dilakukan oleh orang lain.

    Selain itu katanya, mentaliti Fear of Missing Out (Fomo) atau terikut-ikut dengan trend semasa dan tidak mahu ketinggalan dengan arus perubahan juga antara sebab golongan muda terjebak dengan komitmen hutang.

    "Tanpa sedar, sikap ini akhirnya membawa kesan negatif kepada kedudukan kewangan mereka sendiri dan dibelenggu hutang.

    "Mentaliti seperti inilah yang boleh menyebabkan mereka terperangkap dalam isu keberhutangan serius dan kebanyakan mereka dalam lingkungan usia 19 hingga 30 tahun," katanya ketika ditemui Harian Metro di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

    Mohd Nordin berkata, kebanyakan golongan muda dibelenggu hutang seawal usia 19 tahun kerana terdorong ke arah aktiviti menyeronokkan seperti melancong, makan di luar, membeli peranti elektronik dan mengekalkan penampilan diri.

    Menurutnya, ia berdasarkan dapatan kajian oleh Financial Education Wellness Research Committee (FEWRC) AKPK, dalam mengukur dan menganalisa tingkah laku berbelanja dalam kalangan pengguna Malaysia pada 2023.

    Katanya, sejak ditubuhkan pada 2006 sehingga April lalu, pihaknya memberikan khidmat nasihat kewangan kepada pelanggan berusia 30 hingga 40 tahun yang mencatatkan peratusan tertinggi dibantu iaitu sebanyak 43 peratus melalui Program Pengurusan Kredit (PPK).

    Ini disebabkan kategori usia berkenaan kebiasaannya mempunyai beban komitmen keluarga paling tinggi.

    "Di fasa inilah mereka kebiasaannya sudah berumah tangga, mempunyai anak seorang dua dan memerlukan aset keperluan seperti kereta yang selesa, membeli rumah, mendapat kemudahan had kad kredit lebih tinggi dan sebagainya.

    "Ia diikuti individu berusia 40 hingga 50 tahun, sebanyak 28 peratus, golongan berusia 20 hingga 30 tahun (13 peratus) dan mereka yang berusia 50 tahun ke atas (16 peratus)," katanya.

    MOHD Nordin. FOTO Amirudin Sahib
    MOHD Nordin. FOTO Amirudin Sahib

    Mohd Nordin berkata, dari segi statistik bantuan diberikan AKPK, tuntutan kos sara hidup mencatatkan jumlah yang tertinggi dengan 42 peratus.

    Menurutnya, ia diikuti dengan perancangan kewangan yang lemah (34 peratus), kegagalan atau kemerosotan perniagaan (10 peratus), kehilangan pekerjaan (lapan peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (lima peratus) dan lain-lain (satu peratus).

    Berdasarkan pola agihan mengikut jenis fasiliti pula katanya, kad kredit adalah fasiliti tertinggi distrukturkan semula iaitu sebanyak 54 peratus.

    "Ia kemudiannya diikuti pinjaman peribadi sebanyak 33 peratus, pinjaman perumahan (lima peratus), sewa beli kenderaan dan hutang lain masing-masing empat peratus.

    "Persepsi penggunaan kad kredit dan mempelajari tentang pulangan faedah dikenakan pihak bank adalah sangat penting untuk orang ramai tahu supaya mereka dapat menggunakan kemudahan dan fasiliti ini dengan teratur," katanya.

    Dalam pada itu katanya, individu yang hadir ke PPK adalah atas dasar kerelaan sendiri kerana mempunyai masalah dan perlu mendapatkan penyelesaian.

    "Mungkin mereka mendapat maklumat daripada pihak bank atau melalui notis peringatan bank yang dihantar kerana setiap notis dikeluarkan oleh pihak perbankan akan ada satu pemberitahuan tentang perkhidmatan AKPK.

    "Ada juga tahap selepas sudah 'terhantuk', baru datang ke AKPK. Contohnya sudah dapat notis rumah nak kena lelong," katanya.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk tidak berdiam diri, suka bertangguh atau cuba mengambil langkah mudah untuk lari daripada masalah.

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 12:41 PM