STEINBRUCKNER tetap amalkan corak menyerang berdepan Sabah FC, malam esok. -FOTO Ghazali Kori
STEINBRUCKNER tetap amalkan corak menyerang berdepan Sabah FC, malam esok. -FOTO Ghazali Kori

Malik Muhamad

[email protected]

Kuala Terengganu: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner tidak mahu 'jerat' diri dengan aksi bertahan apabila berdepan Sabah FC pada aksi suku akhir kedua Piala FA, malam esok.

Sebaliknya jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, beliau tetap mahukan anak buahnya mengamalkan corak permainan menyerang dalam misi melangkah ke separuh akhir saingan itu.

Bagaimanapun pada masa sama beliau mahukan anak buahnya bijak bertahan bagi mengelak 'dijerat' skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.

"Biarpun mempunyai bekalan selesa dengan berkelebihan empat jaringan, namun beraksi dengan corak permainan bertahan bukanlah idea yang baik.

"Sebaliknya kita akan tetap mengamalkan corak permainan biasa dan menyerang sebagaimana sebelum ini dengan mencipta banyak peluang untuk melebarkan lagi kelebihan jaringan.

"Lagipun dalam bola sepak pelbagai kemungkinan boleh terjadi, jadi saya tegaskan kepada pemain agar bermain seperti biasa kerana aksi bertahan sentiasa bawah tekanan selain banyak masalah bagi memastikan misi kita tercapai," katanya.

Pada aksi pertama Jumaat minggu lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, TFC melakar kemenangan 4-0 hasil jaringan masing-masing menerusi Manuel Ott dan Marin Pilj serta dua gol Ismaheel Akinade.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:15 PM