NEYMAR alami kecederaan ketika aksi bersama Brazil. FOTO Agensi
NEYMAR alami kecederaan ketika aksi bersama Brazil. FOTO Agensi
AFP

Brasilia: Neymar dijadual menjalani pembedahan di negara kelahirannya Brazil selepas koyak ligamen dan meniscus di lutut kirinya ketika perlawanan pasukan kebangsaan bulan lalu, kata Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) semalam.

Bintang Brazil itu akan dibedah di hospital Mater Dei di bandar selatan Belo Horizonte oleh doktor pasukan kebangsaan Rodrigo Lasmar, kata CBF dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, pemain kelab Arab Saudi, Al-Hilal itu diusung keluar dalam tangisan ketika Brazil tewas 2-0 kepada Uruguay pada aksi kelayakan Piala Dunia 17 Oktober lalu, selepas berlaga dengan pemain tengah lawan Nicolas de la Cruz.

Ia kecederaan terbaharu dialami Neymar, yang menjalani pembedahan pada Mac lalu kerana masalah buku lali yang menyebabkannya berehat enam bulan.

Masalah kecergasan membelenggu enam musimnya di PSG, yang mengikatnya dengan rekod dunia AS$234 juta (RM1.1 bilion) pada tahun 2017.

Dia menandatangani kontrak bersama Al-Hilal dengan harga AS$95 juta (RM451 juta) pada Ogos lalu.

Di sebalik bergelut dengan kecederaan, Neymar melakar nama dalam rekod pada September lalu apabila dia mengatasi pemain legenda Pele untuk muncul penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 1:18 PM