SEBANYAK RM360,000 sumbangan diberikan kepada 17 buah sekolah di Sabah terjejas banjir, baru-baru ini. FOTO Yun Mikail
SEBANYAK RM360,000 sumbangan diberikan kepada 17 buah sekolah di Sabah terjejas banjir, baru-baru ini. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Sebanyak 17 buah sekolah di Sabah yang terjejas banjir baru-baru ini menerima sumbangan menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM360,000.

Antara sekolah terbabit termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Kelatuan, Papar, SK ST Patrick, Membakut, SK Darau, Kota Kinabalu, SK Bawang, Tuaran dan Sekolah Menengah (SM) St Michael, Penampang.

Exco Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, setiap sekolah rendah mendapat bantuan sebanyak RM20,000 manakala RM40,000 untuk sekolah menengah.

"TPNS hari ini menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang membabitkan sekolah.

"Sebelum ini, saya juga sempat melawat beberapa buah sekolah seperti SM ST Michael, SK Kibabaig dan SK Rampayan. Semua sekolah ini memang teruk dilanda banjir, baru-baru ini.

"Bagaimanapun, kita menyantuni semua sekolah terbabit sama seperti arahan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Kepada Sekolah-Sekolah bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah memaklumkan TPNS kini sudah mengutip sebanyak RM57 juta hasil sumbangan pelbagai pihak.

Menurutnya, hasil sumbangan terbabit akan dimanfaatkan bagi kepentingan pendidikan anak-anak Sabah.

"Setakat ini, kita sudah guna kira-kira RM5 juta dan dimanfaatkan untuk 5,000 penerima.

"Malahan kita ada meluluskan permohonan termasuk dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk lebih kurang 5,000 pelajar memerlukan cermin mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:14 PM