(dari kiri) Aaron Aziz, Dwi Ariana, Diana Halik dan Dahlia Arissa.
(dari kiri) Aaron Aziz, Dwi Ariana, Diana Halik dan Dahlia Arissa.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Anak perempuan kepada pelakon Datuk Aaron Aziz iaitu Dwi Ariana meluahkan rasa syukur apabila berjaya menamatkan pengajian A-Level di Kolej Tuanku Ja'afar, Negeri Sembilan (KTJ).

Ariana yang memberi bayangan akan melanjutkan pengajian ke luar negara memberitahu banyak pengalaman yang dilalui sepanjang 13 tahun menimba ilmu di alam persekolahan di Malaysia.

"Dua tahun berlalu dengan begitu cepat di KTJ. Saya belajar di Malaysia kira-kira 13 tahun dan berakhir dengan cerita yang penuh pahit dan manis.

"Terima kasih Allah kerana memberi saya kekuatan untuk menyelesaikan A-Level. Terima kasih juga kepada ibu bapa dan keluarga atas segala-galanya serta rakan-rakan di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

"Menuju ke fasa seterusnya, saya harap alam universiti akan membawa detik indah buat saya," tulisnya berserta emoji bendera negara United Kingdom.

Dalam pada itu, Aaron menerusi hantaran berbeza menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan anak kesayangannya itu dan menyokong minat anaknya untuk menyambung pengajian dalam bidang Psikologi Forensik di Universiti Surrey, England.

"Alhamdulillah, satu lagi kejayaan yang membanggakan dan penuh emosi untuk saya selepas anak lelaki. Tidak lama lagi mereka berdua akan memulakan perjalanan dan membentuk masa depan mereka.

"Semoga Allah sentiasa melindungimu daripada segala kemudaratan dan dipermudahkan urusan untuk menjadi seorang Psikologi Forensik," katanya.

Aaron mendirikan rumah tangga bersama Datin Diana pada 2003 dan dikurniakan tiga anak iaitu Danish Anaqi, 19, Dwi Ariana, 18, dan Dahlia Arissa, 14.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:32 PM