London: Kylian Mbappe dilaporkan tiada niat untuk bermain di Arab Saudi sekalipun Paris Saint-Germain (PSG) memberi kebenaran kepada Al-Hilal untuk berunding dengan penyerang Perancis itu selepas membuat bidaan rekod dunia bernilai £259 juta (RM1.52 bilion).
Mbappe dalam proses dijual oleh juara Perancis itu selepas menolak untuk menandatangani rundingan baharu ketika kontrak asalnya berbaki semusim lagi.
Berita mengenai bidaan rekod dunia itu tersebar malam tadi dan PSG sedia menerimanya berikutan presiden kelab, Nasser Al-Khelaifi tidak mahu kehilangan Mbappe secara percuma pada musim panas depan.
Relevo melaporkan, Mbappe 'tidak mahu bermain di Arab Saudi' sekalipun tawaran mengejutkan daripada Al-Hilal itu.
Media berpangkalan di Madrid itu mendakwa Mbappe mahu menghabiskan baki kontrak setahun bersama juara Perancis itu.
Mbappe dilaporkan 'sanggup duduk di bangku simpanan' selama semusim itu bagi melengkapkan kontraknya.
Situasi itu memberikan cabaran besar kepada pengurus baharu PSG, Luis Enrique terutama sekiranya kelab berkenaan berdepan prestasi tidak menentu di tengah padang.
Penyerang berusia 24 tahun itu diketepikan daripada skuad PSG yang menyertai jelajah pramusim di Jepun dan Korea Selatan berikutan status masa depannya yang membingungkan kelab Ligue 1 itu.
Tawaran terbaharu Al-Hilal itu akan mengatasi rekod sebelum ini apabila perpindahan Neymar bernilai £198 juta (RM1.16 bilion) dari Barcelona ke PSG dianggap perpindahan termahal dalam sejarah bola sepak.
Tawaran dikemukakan untuk dilaporkan akan membolehkan Mbappe meraih pendapatan £600 juta (RM3.5 bilion) dalam masa setahun.
Kelab Liga Pro Saudi itu dilaporkan turut meletakkan klausa pelepasan dalam kontrak lumayan itu yang membolehkan Mbappe menyertai Real Madrid, musim depan.
Bintang Perancis itu sudah lama mengidam untuk berpindah ke Real Madrid dengan PSG percaya dia sudah setuju untuk menyertai kelab gergasi Sepanyol itu secara percuma pada 2024.
Sebelum ini, Mbappe begitu hampir menyertai kelab bimbingan Carlo Ancelotti pada 2022, tetapi membuat pusingan U apabila dia melanjutkan kontrak di PSG.
Al-Hilal antara kelab berbelanja besar kali ini selepas menandatangani beberapa pemain ternama seperti Ruben Neves dari Wolves; Kalidou Koulibaly dari Chelsea serta perancang Serbia, Sergej Milinkovic-Savic dari Lazio, selain sedang menyasarkan penyerang Fulham, Aleksandr Mitrovic.
Malah, mereka terlepas untuk menandatangani Lionel Messi apabila kapten Argentina yang memenangi Piala Dunia Qatar 2022 itu memilih untuk menyertai kelab MLS, Inter Miami.