Azwani raih emas acara kumite bawah 61 kg. -FOTO Syafiq Aznan
Azwani raih emas acara kumite bawah 61 kg. -FOTO Syafiq Aznan
Daripada Syafiq Aznan di Malang


Malang: Atlet karate negara, Siti Nor Azwani Nor Azli berjaya mempertahankan pingat emas acara kumite bawah 61 kilogram (kg) pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, kali ini.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menewaskan wakil Thailand, Thamol Chananchinda pada aksi final acara kumite bawah 61kg di Pusat Konvensyen Universitas Negeri Malang (UM), semalam.

Lebih menarik, Nor Azwani melakar kemenangan berganda ke atas Thamol selepas dia turut menewaskan lawan sama pada aksi final pada edisi 2022 di Ubon Ratchathani.

"Perlawanan final agak mencabar kerana saya bertemu lawan yang sama pada AUG sebelum ini. Jadi masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing.

"Jadi ia bukanlah satu perlawanan yang mudah tetapi saya gembira dapat menyumbangkan pingat emas pada penampilan kedua saya di AUG," katanya.

Sebagai rekod, ini adalah pingat pertama skuad karate negara pada AUG 2024.

Justeru, kemenangan di AUG bakal dijadikan tonik buat Nur Azwani selepas dia turut akan bertanding dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 yang akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), September ini.

"Pertandingan selepas ini adalah SUKIPT jadi saya akan meletakkan fokus pada SUKIPT pula," katanya.

Pada SUKIPT edisi 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dia meraih pingat emas untuk UPM dalam acara sama selepas menundukkan wakil Politeknik Malaysia, Vaisnavi Murugan 12-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:24 PM