NEYMAR meraikan jaringan rakan sepasukannya. FOTO REUTERS
NEYMAR meraikan jaringan rakan sepasukannya. FOTO REUTERS
Agensi

Riyadh: Neymar akhirnya melakukan penampilan sulung untuk kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal awal pagi tadi, namun peminat jelas kecewa dengan satu insiden penting.

Bekas bintang Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu masuk dari bangku simpanan pada babak kedua dan meskipun gagal menjaringkan gol, dia terbabit dengan beberapa gerakan serangan pada perlawanan yang dikuasai pasukannya.

Ia penampilan pertama pemain Brazil itu sejak berpindah dengan harga £78 juta (RM452 juta) ke Timur Tengah pada musim panas ini, dengan pemain seperti Aleksandar Mitrovic, Ruben Neves dan Yassine Bounou turut beraksi dengan pendahulu liga itu.

Mitrovic berada dalam senarai penjaring apabila dia menyumbat penalti pada babak pertama ketika kemenangan besar 6-1 itu dengan Yasser Alshahrani, Nasser Aldawsari, Malcolm dan Salem Aldawsari turut menyumbang gol.

Bagaikan sudah ditakdirkan Neymar akan menjaringkan gol pada penampilan sulung buat pasukan baharunya itu, yang akan menyaksikannya menerima £130 juta (RM754 juta) setahun, apabila Al-Hilal dihadiahkan sepakan penalti pada lewat permainan.

Namun ia mengejutkan ramai apabila pemain sayap Salem Aldawsari tampil mengambil sepakan itu, dengan ejekan didengari di seluruh stadium selepas menyedari bintang baharu kelab itu tidak mengambilnya.

Aldawsari menyempurnakan penalti itu dan Neymar berlari meraikan jaringan bersama pemain berusia 32 tahun itu.

Al-Hilal melonjak ke tangga teratas susulan kemenangan itu, selepas mencatat lima kemenangan dan sekali seri dalam enam perlawanan pertama mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 12:27 PM