ANTARA cermin kereta yang dipecahkan di kawasan LRT Awan Besar pada 1 Julai lalu yang tular di media sosial. FOTO tular
ANTARA cermin kereta yang dipecahkan di kawasan LRT Awan Besar pada 1 Julai lalu yang tular di media sosial. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Enam cermin kereta yang diparkir di tepi jalan di kawasan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, di sini, dipecahkan pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu bermula 9.20 pagi kelmarin.

"Hasil semakan mendapati kesemua enam kereta itu diparkir oleh pemilik kenderaan di lokasi terbabit bermula kira-kira jam 3 petang, Isnin lalu.

"Beberapa bahagian cermin kereta terbabit dipecahkan oleh suspek yang masih bebas sebelum disedari oleh pemilik kenderaan pada keesokan harinya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:01 PM