SHEREEN cemerlang sumbang emas dalam acara 400m di AUG. -FOTO KPT
SHEREEN cemerlang sumbang emas dalam acara 400m di AUG. -FOTO KPT
Daripada Syafiq Aznan di Malang


MALANG: Atlet olahraga negara, Shereen Samson Vallabouy tidak akan 'mengabaikan' acara pecut 100 meter (m) dan 200m selepas dia merancang untuk turut menambah dua acara itu dalam rutin lariannya selepas ini.

Pemegang rekod kebangsaan bagi acara 400m itu menyifatkan dua acara pecut itu dapat membantu dia untuk terus meningkatkan prestasi dalam acara 400m memandangkan dia memburu penamat musim yang lebih baik pada tahun ini.

"Sudah tentu saya mahu menutup musim saya dengan catatan terbaik jadi saya merancang untuk berlari lebih banyak dalam acara 100m dan 200m juga.

"Banyak ruang untuk penambahbaikan dan saya juga sudah lama tidak bertanding dalam acara 100m dan 200 kerana meletakkan fokus pada acara 400m tetapi saya tidak berjaya (ke Sukan Olimpik).

"Saya lihat lebih banyak saya berlari dalam 100m dan 200m, ia akan membantu saya dalam acara 400m juga," kata Shereen.

Sebagai rekod, Shereen menghadiahkan satu pingat emas dalam acara 400m menerusi catatan 53.71s, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya dari Thailand, Benny Nontanam (55.09s) dan Maulidah dari Indonesia (56.51s).

Dalam perkembangan sama, Shereen penuntut Winona State University itu mengesahkan dia akan kembali ke Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai beberapa lagi pertandingan sebelum menutup kempen musim ini.

"Saya akan kembali ke AS dan di sana lebih kompetitif dan saya ada banyak dorongan untuk bertanding di sana. Cuma saya tidak berapa tahu lagi mengenai kejohanan yang akan saya sertai nanti.

"Semuanya mengikut kepada perancangan jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:41 PM