HAMZAH Ahmad ketika sidang media berkaitan PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap di sini. FOTO Danial Saad
HAMZAH Ahmad ketika sidang media berkaitan PRK Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Polis menasihatkan pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap esok untuk tidak menyerahkan kad pengenalan kepada individu tidak dikenali.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata ia bagi mengelak identiti mereka digunakan pihak tidak bertanggungjawab sekali gus mensabotaj proses demokrasi itu.

Menurutnya, seramai 800 anggota polis termasuk trafik akan bertugas bagi memastikan kelancaran proses pengundian yang bermula jam 8 pagi.

"Kita meminta pengundi dapat datang awal ke pusat-pusat mengundi yang dibuka di waktu pagi memandangkan cuaca kurang baik di sebelah petang.

"Jangan bimbang dan takut untuk menjalankan tanggungjawab mengundi yang kita (polis) beri jaminan dari segi keselamatan serta ketenteraman awam termasuk kawalan lalu lintas bagi melancarkan proses.

"Pengundi juga dinasihatkan supaya tidak beri kad pengenalan kepada orang lain kerana dibimbangi identiti mereka disalah guna dan disabotaj, serahkan kad pengenalan hanya kepada petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, sepanjang proses kempen bermula 22 Jun lalu sehingga hari ini terdapat lima laporan polis diterima pihaknya yang kesemua kes itu masih dalam siasatan lanjut.

"Lima laporan polis itu membabitkan kesalahan merosakkan bahan kempen, edaran risalah menyalahi undang-undang, mencuri bendera, sepanduk dan berhimpun tanpa permit.

"Secara keseluruhannya, 181 permit ceramah serta kempen dikeluarkan terhadap kedua-dua parti yang proses berjalan dengan suasana aman, tenteram dan terancang," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah menasihati kepada penyokong parti yang memenangi pilihan raya untuk meraikan dalam suasana sederhana dan tidak keterlaluan, disamping dilarang mengadakan sebarang perarakan.

"Kepada pemenang, jangan buat sambutan luar biasa, perarakan tidak dibenarkan. Raikan kemenangan secara berhemah, ikut tatatertib bawah peraturan," katanya.

Lebih 39,000 pengundi akan menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK Sungai Bakap esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:10 PM