MBAPPE berhenti di pintu masuk pusat latihan Paris Saint-Germain untuk bertemu peminat dan menandatangani autograf selepas sesi latihan bersama skuad simpanan kelab itu. FOTO AFP
MBAPPE berhenti di pintu masuk pusat latihan Paris Saint-Germain untuk bertemu peminat dan menandatangani autograf selepas sesi latihan bersama skuad simpanan kelab itu. FOTO AFP
Agensi

Riyadh: Al-Hilal dilaporkan membuat tawaran lumayan 200 juta euro (RM1.01 bilion) setahun kepada Kylian Mbappe bagi menyertai kelab itu.

Mbappe, 24, kini berdepan masalah mengenai kontraknya di Paris Saint-Germain (PSG), sekali gus menyaksikannya diketepikan daripada jelajah pramusim ke Jepun dan Korea Selatan.

Penyerang itu memiliki baki kontrak setahun dengan kelab gergasi Perancis itu hingga musim panas 2024, tetapi hingga kini dia enggan menandatangani kontrak lanjutan di Paris, dan laporan sekali lagi mengaitkannya dengan perpindahan ke Real Madrid.

Situasi itu menyebabkan pemilik PSG menegaskan dia mesti dijual jika tidak bersetuju dengan perjanjian baharu dan kelab itu sedia menerima kurang daripada £155 juta (RM909 juta) yang mereka bayar kepada AS Monaco untuk mengikatnya pada 2017, bagi mengelak pemergiannya secara percuma pada hujung musim depan.

Menurut wartawan Itali, Tancredi Palmeri, Al-Hilal iaitu satu daripada empat kelab Liga Pro Saudi yang dimiliki Dana Pelaburan Awam, sudah membuat tawaran mega untuk membeli Mbappe.

Beliau mendakwa mereka menawarkan pemain itu gaji RM1.01 bilion setahun dengan kontrak dua tahun dan mungkin termasuk klausa pelepasan selepas tahun pertama dia dijual khusus ke Real Madrid.

Laporan itu turut menyebut mereka akan membayar RM1.01 bilion yuran perpindahan kepada PSG, yang mungkin memuaskan hati kelab Paris itu untuk melepaskannya.

Mbappe - yang dilaporkan sedia menghabiskan musim depan bagi memaksa perpindahan secara percuma ke Real pada musim panas akan datang - difahamkan tidak berminat untuk bermain di Arab Saudi.

Tetapi, jika Los Blancos gagal membayar yuran perpindahan tahun ini, tawaran Al-Hilal dianggap jalan penyelesaian kepada semua pihak.

Dia sudah lama dikaitkan dengan Real, namun memutuskan untuk menandatangani kontrak baharu bernilai £650,000 (RM3.8 juta) seminggu bersama PSG dan tidak menyertai mereka tahun lalu.

Sejak itu, banyak perkara negatif berlaku di Paris dengan pemain Perancis itu mengecam pemimpin kelab dan mengancam untuk meninggalkan kelab secara percuma sebaik kontraknya tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 11:15 AM