SALAH kekal bersama Liverpool. -FOTO AFP
SALAH kekal bersama Liverpool. -FOTO AFP
Agensi

London: Tarikh akhir perpindahan Liga Pro Saudi ditutup semalam sekali gus menamatkan perpindahan musim panas yang memecahkan rekod perbelanjaan tertinggi selain turut menyaksikan Al-Ittihad tidak berjaya dalam usahanya mendapatkan Mohamed Salah dari Liverpool.

Pasukan Nuno Espirito Santo membuat tawaran £150 juta (RM876.28 juta) untuk pemain antarabangsa Mesir berusia 31 tahun itu namun ditolak oleh The Reds dengan laporan mengenai bidaan rekod dunia bernilai £215 juta (RM1.2 bilion) tidak pernah disahkan.

Beberapa pengurus Liga Perdana mengkritik tarikh pembelian Saudi ditutup seminggu selepas liga utama Eropah.

Ia adalah musim panas luar biasa yang tidak pernah berlaku sebelum ini membabitkan perbelanjaan oleh liga bukan Eropah dengan Dana Pelaburan Awam Arab Saudi membelanjakan jumlah yang besar membabitkan empat kelab mereka.

Secara keseluruhan, kelab Saudi membelanjakan kira-kira £700 juta (RM4.08 bilion) musim panas ini, meletakkannya mereka di bawah Liga Perdana, Ligue 1 Perancis dan La Liga Sepanyol menurut data Deloitte.

Peminat Liverpool menunggu dengan penuh mendebarkan sehingga tarikh akhir perpindahan Saudi ditutup.

Terdapat kebimbangan Al-Ittihad boleh kembali dengan tawaran yang tidak dapat ditolak oleh The Reds untuk Salah kerana mereka tidak akan dapat membeli pengganti dalam tempoh empat bulan.

Salah menjaringkan 188 gol dalam 309 perlawanan untuk Liverpool sejak menyertai dari Roma pada 2017.

"Kunci untuk Liverpool ialah Salah," kata bekas penyerang Blackburn, Chris Sutton di BBC Radio 5 Live.

"Dengan dia, saya benar-benar percaya mereka boleh menjadi cabaran kepada Manchester City. Jika dia pergi, mereka tidak akan mencabar - dia begitu penting kepada Liverpool."

Beberapa bintang Liga Perdana sudahpun mengesahkan penghijrahan ke Arab Saudi dengan jumlah yang mencecah kira-kira £250m (RM1.46 juta).

Penyerang Paris St-Germain Neymar menyertai Al-Hilal dengan harga £77.6 juta (RM453.36 juta) manakala kelab Arab Saudi turut memikat rakan sepasukannya di PSG, Georginio Wijnaldum, pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema dari Real Madrid, Sadio Mane dari Bayern Munich, kapten Inter Milan, Marcelo Brozovic, Pemain Barcelona, Franck Kessie, Jota dari Celtic dan pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic.

Mungkin terdapat perpindahan rekod dunia baharu juga apabila PSG memberi kebenaran kepada Al-Hilal untuk berbincang dengan Kylian Mbappe selepas membuat bidaan £259m (RM1.5 juta) tetapi penyerang itu memilih untuk kekal bersama juara Perancis itu dan Neymar dijual.

Barisan Pemain yang berhijrah ke Arab Saudi

Al-Ahli: Allan Saint-Maximin (Newcastle), Riyad Mahrez (Manchester City), Edouard Mendy (Chelsea), Roberto Firmino (Liverpool)

Al-Ettifaq: Jordan Henderson (Liverpool), Demarai Gray (Everton)

Al-Hilal: Ruben Neves (Wolves), Kalidou Koulibaly (Chelsea), Aleksandar Mitrovic (Fulham)

Al-Ittihad: N'Golo Kante (Chelsea), Fabinho (Liverpool)

Al-Nassr: Aymeric Laporte (Manchester City), Alex Telles (Manchester United)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 11:47 AM