AKSI antara skuad B-17 negara dengan Uzbekistan semalam. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
AKSI antara skuad B-17 negara dengan Uzbekistan semalam. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Berbaki seminggu sebelum sepak mula saingan Piala Asia bawah 17 (B-17) Khamis depan, skuad Harimau Muda akan memanfaatkan sebaiknya tempoh singkat itu untuk memperbaiki kelemahan yang terserlah selepas tumbang 2-3 di tangan pasukan Uzbekistan, malam tadi.

Aksi persahabatan antarabangsa Tier 2 yang berlangsung di Stadium Mini UiTM adalah sebahagian daripada persiapan terakhir skuad B-17 negara kendalian Osmera Omaro sebelum menyertai Piala Asia di Bangkok, Thailand minggu depan.

Osmera yang ditemui selepas aksi dengan Uzbekistan itu mengakui terdapat banyak kelemahan yang berjaya dikesan daripada perlawanan itu.

"Tentu sekali kita kecewa bila keputusan tidak memihak kita. Dalam perlawanan ada yang positif dan ada negatif, masih banyak lagi kerja kita kena buat…yang bahagian lemah yang kita ada.

"Masa pun kita dah tak ada, kita kena baiki segera. Kita cuba dalam jangka masa singkat ini baiki kelemahan yang ada.

"Bagi saya lawan kita Uzbekistan betul-betul 'top' kualiti, kita tahu contohnya masa Kelayakan Piala Asia lalu, mereka jadi juara kumpulan dengan menewaskan Korea Selatan..

"Kita tahu tahap Uzbekistan ini, baru-baru ini mereka juara B-20 Piala Asia. Jadi sekurang-kurangnya kita dapat peluang bermain dengan mereka," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran tinggi terhadap skuad B-17 untuk layak ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

Berdasarkan format Piala Asia B-17, empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir nanti akan meraih tiket ke Piala Dunia, sekali gus menuntut anak buah Osmera untuk tampil lebih mantap di Bangkok nanti.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Thailand, Yaman dan Laos.

Selepas ini, skuad Harimau Muda negara akan berdepan pasukan B-17 Arab Saudi di Stadium Mini UiTM Shah Alam pada Jumaat ini, yang juga aksi pemanas badan terakhir sebelum ke Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 7:01 PM