PEMAIN negara cuba melepasi  kawalan pemain Uzbekistan. FOTO FAM
PEMAIN negara cuba melepasi kawalan pemain Uzbekistan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Shah Alam: Terlalu banyak kerja rumah menanti skuad bawah 17 (B-17) tahun negara jika mahu muncul antara empat pasukan terbaik di Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand dari 15 Jun hingga 2 Julai ini.

Ia selepas skuad kendalian Osmera Omaro tewas 2-3 kepada pasukan B-17 Uzbekistan pada aksi persahabatan Tier 2 di Stadium Mini UiTM, di sini, malam tadi.

Kekalahan itu pastinya memberi peringatan awal buat pasukan negara agar segera memperbaiki segala kelemahan terutamanya di bahagian tengah yang dilihat gagal berfungsi dengan baik sepanjang aksi itu.

Malah, pemain negara juga terlalu kerap bermain di depan gawang sendiri selain banyak melakukan kesilapan khususnya hantaran yang kurang tepat.

Malaysia yang meletakkan sasaran mara ke separuh akhir di Bangkok bagi meraih tiket ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini dikejutkan dengan gol awal pelawat pada di minit ke-12.

Gol itu diraih menerusi sentuhan ketua pasukan, Mirzaev Lazizbek bagi menewaskan Farish Farhan di gawang gol.

Skuad negara kembali memperkemaskan rentak dan akhirnya Farish Danish Mohd Asrul hanya memerlukan enam minit untuk menghadiahkan gol penyamaan buat kem tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Uzbekistan meningkatkan 'suhu' permainan dengan memberi tekanan demi tekanan ke kubu negara bagi memburu gol tambahan.

Gawang negara sekali lagi bocor pada minit 58 namun mujur jaringan penyerang Uzbekistan dibatalkan pengadil selepas dikesan berada pada kedudukan offside.

Skuad negara yang muncul juara Kumpulan B pada pusingan kelayakan sebelum ini sebaliknya mengendurkan permainan untuk memberi peluang buat Uzbekistan menyerang ke kubu negara.

Akhirnya Uktamov Ozodbek mengambil kesempatan itu apabila dia melepaskan rembatan dari jarak 30 meter di minit ke-66, sebelum Karimov Ollabergan melebarkan kelebihan dengan gol ketiga selepas menanduk masuk sepakan percuma di minit 71.

Anak buah Osmera Omaro tidak menyerah kalah dan berjaya merapatkan kedudukan hasil sentuhan Muhammad Ryan Fahreen di minit 79, namun jaringan itu tidak mampu menghalang pelawat untuk mencatat kemenangan.

Selepas ini, skuad Harimau Muda negara akan berdepan pasukan B-17 Arab Saudi pada aksi persahabatan kedua Jumaat ini, di venue yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 11:15 PM