SKUAD B-17 negara kini gigih menjalani latihan. FOTO FAM
SKUAD B-17 negara kini gigih menjalani latihan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Karakter dan kekuatan skuad bawah 17 (B-17) tahun negara akan terus diuji berdepan sekurang-kurangnya dua pasukan gergasi Asia sebelum terbang ke Bangkok, Thailand bagi menghadapi saingan Piala Asia B-17, dari 15 Jun hingga 2 Julai ini.

Dua pasukan yang dijangka menentang skuad kendalian Osmera Omaro itu adalah Arab Saudi dan Uzbekistan yang akan ke Kuala Lumpur bagi menjalani kem latihan terakhir sebelum masing-masing ke Bangkok.

Perkara itu dinyatakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang melihat ujian berdepan dua pasukan terkuat Asia itu mampu meningkatkan lagi keupayaan pasukan negara bimbingan Osmera itu.

Hamidin yang menaruh keyakinan untuk melihat skuad Harimau Muda ini layak ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini, mohon sokongan dan doa untuk mengiringi perjuangan skuad masa depan negara ini.

"Kalau ada rezeki...kita kerja kuat sama-sama, kita doa pasukan ini (B-17 negara) ada peluang untuk pergi ke Piala Dunia, dan ini menjadi satu sejarah kalau Malaysia masuk.

"Selepas itu pasukan ini (ketika ini skuad B-17 berada di Qatar) akan balik menentang Arab Saudi di sini dalam aksi persahabatan, dan juga Uzbekistan yang berminat, dan banyak juga pasukan datang ke sini dulu sebelum pergi ke Bangkok. Lepas itu mereka akan ke Bangkok pada bulan Jun," katanya.

Skuad B-17 kini sedang menjalani kem latihan fasa 2 membabitkan seramai 25 pemain yang dibawa ke Qatar untuk berdepan beberapa aksi persahabatan di sana.

Saingan di Bangkok, Thailand nanti menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Thailand, Laos dan Yaman.

Sasaran pasukan negara di Piala Asia itu adalah layak ke separuh akhir bagi membolehkan anak buah Osmera beraksi di Piala Dunia B-17 pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 8:21 PM