PASUKAN muda negara itu tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
PASUKAN muda negara itu tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam. FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 17 tahun (B-17) negara Osmera Omaro memberi bayangan barisan anak buahnya bakal melalui situasi sukar apabila mengharungi Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, bermula 15 Jun ini.

Berdasarkan kepada dua kekalahan pada perlawanan persahabatan dengan tewas 0-2 kepada Uzbekistan sebelum dibenam pula Arab Saudi 1-4 semalam sekali gus menyaksikan banyak perkara perlu dilakukan Osmera dalam membentuk skuad mantap bagi mengharungi kejohanan itu.

Malah, misi skuad muda negara untuk layak ke Piala Dunia B-17 juga dilihat seperti samar berdasarkan kepada corak permainan yang ditampilkan mereka pada perlawanan persahabatan itu.

Osmera berkata, beliau sudah pastinya kecewa pada perlawanan persahabatan itu menyaksikan anak buahnya gagal meraih kemenangan sebagai motivasi untuk mengharungi kempen Piala Asia B-17.

Namun, secara keseluruhan, beliau melihat barisan anak buahnya menunjukkan peningkatan positif terutama berani mengawal bola apabila berdepan dengan pasukan hebat seperti Uzbekistan dan Arab Saudi.

"Mestilah saya bimbang apabila setiap kali kita kalah kerana tak dapat berikan cabaran namun barisan pemain berjaya mendominasi perlawanan pada pertemuan menentang Uzbekistan.

"Jika mengatakan mengenai pembangunan memang ada peningkatan positif namun apabila di Piala Asia nanti jika berjaya keluar daripada peringkat kumpulan sudah pastinya akan berjumpa pasukan seperti Uzbekistan dan Arab Saudi sekali gus perlu mengatasi kelemahan dan mengharapkan tuah memihak kepada kita," katanya, ketika ditemui semalam.

Terdahulu, pasukan muda negara itu tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan kedua yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, petang semalam.

Keputusan itu, menyaksikan skuad B-17 negara tewas kali kedua pada pertemuan perlawanan persahabatan apabila turut kalah 2-3 apabila bertemu Uzbekistan sebelum ini.

Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan A di Kejohanan Piala Asia B-17 di Bangkok bersama tuan rumah iaitu Thailand, selain Yaman dan Laos bagi kejohanan peringkat benua itu.

Pasukan yang berada kelompok empat terbaik di kejohanan itu bakal memperoleh slot untuk beraksi di Piala Dunia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 3:33 PM