SEBAHAGIAN aksi skuad B-17 ketika bertemu Uzbekistan. FOTO FAM
SEBAHAGIAN aksi skuad B-17 ketika bertemu Uzbekistan. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad bawah 17 (B-17) tahun negara akan tampil lebih berhati-hati menjelang aksi pemanas badan terakhir sebelum ke Piala Asia B-17 apabila berdepan pasukan B-17 Arab Saudi di Stadium Mini UiTM Shah Alam, malam esok.

Langkah berhati-hati yang dimaksudkan oleh pengendali pasukan, Osmera Omaro ialah dengan mengingatkan anak buahnya mengelak daripada mendapat kecederaan apabila bertemu Arab Saudi nanti.

Katanya, dengan berbaki tujuh hari sebelum sepak mula saingan Piala Asia ditiupkan, pasukan perlu berada pada tahap terbaik terutamanya kesebelasan utama pasukan agar tidak mendapat kecederaan di saat akhir.

"Hari ini (ketika aksi persahabatan dengan Uzbekistan Selasa lalu) kita mula dengan kesebelasan terbaik.

"Tapi kita tak nak juga untuk perlawanan ini pemain utama kita dapat kecederaan. Jadi kita kena ambil sikit langkah berjaga-jaga (apabila berdepan Arab Saudi), di mana kita boleh buat enam pertukaran.

"Kalau dalam perlawanan sebenar boleh buat lima pertukaran, jadi mungkin akan ada perubahan nanti," katanya yang mungkin merehatkan beberapa pemain utama apabila turun menentang Arab Saudi nanti.

Terdahulu, skuad Harimau Muda negara itu tewas 2-3 di tangan pasukan B-17 Uzbekistan dalam aksi persahabatan di Stadium Mini UiTM Shah Alam.

Kekalahan itu memberi peluang buat Osmera mengenal pasti kelemahan yang berjaya dikesan sebelum memulakan kempen di Bangkok, Thailand nanti.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Thailand, Yaman dan Laos.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran tinggi terhadap skuad B-17 untuk layak ke Piala Dunia B-17 hujung tahun ini.

Berdasarkan format Piala Asia B-17, empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir nanti akan meraih tiket ke Piala Dunia, sekaligus menuntut anak buah Osmera untuk tampil lebih mantap di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 3:22 PM