ANTARA aksi skuad B-16 negara bertemu skuad Taiwan B-16, di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, hari ini. FOTO FB FAM
ANTARA aksi skuad B-16 negara bertemu skuad Taiwan B-16, di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, hari ini. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Masalah ketumpulan jentera depan cukup meresahkan pengendali skuad bawah 16 (B-16) tahun negara, Osmera Omaro menjelang kempen Kelayakan Piala Asia B-17 di Bogor, Indonesia, Sabtu ini.

Kebimbangan itu disuarakan selepas melihat anak buahnya membenam Taiwan B-16 dengan 2-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Mini UiTM Shah Alam, petang tadi.

Walaupun menang, Osmera nyata tidak keruan memikirkan kelemahan penyerangnya yang gagal meledak lebih bantam gol dalam aksi itu.

"Dari segi keputusan tahniah kepada pemain kerana menang, tapi banyak masalah sama berulang pada kita.

"Dominasi perlawanan ini secara penuh kita cipta banyak peluang, tapi masalah sama berulang kita susah nak terjemah kepada jaringan, pada masa sama setiap serangan lawan nampak bahaya. Jadi benda ini kita harap sempat lagi untuk kejar (perbaiki) sikit-sikit," katanya.

Skuad Harimau Muda negara dalam misi untuk melayakkan diri ke Piala Asia tahun depan, dengan juara kumpulan akan meraih tiket ke pusingan yang kemungkinan berlangsung di Bahrain.

Selain 10 tiket menanti juara daripada 10 kumpulan itu, enam naib juara terbaik turut ditawarkan untuk beraksi di saingan kemuncak itu, di mana empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan mewakili Asia ke saingan Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

Ujar Osmera, beliau mengharapkan tuah mengiringi pemainnya di Indonesia nanti.

"Ini bukan masalah paling senang untuk diperbaiki, kalau masalah ini berkenaan organisasi boleh baiki. Tapi kita tengok daripada sebelum ini, hingga kini rata-rata trend permainan kita dia pergi macam ini (sukar jaringkan gol).

"Saya harap sampai sini trend ini boleh berubah dan pada masa sama juga, kita harap nasib itu akan berubah sikit. Sebab komen-komen yang tengok daripada perlawanan, kata kita main bagus tapi kita tak bertuah.

"Bukan kita nak cakap nak pakai tuah, tapi situasi itu saya nak cakap akan berubah dan akan lebih tajam dan tunjuk lebih motivasi dan agresif. Bukan saja untuk memang tapi untuk jaringkan gol," katanya.

Skuad negara diletakkan dalam Kumpulan B dan akan memulakan aksi berdepan Palestin pada Sabtu ini, diikuti Guam (5 Oktober), Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan Indonesia (9 Oktober).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 8:26 PM