OSMERA (kiri) bersama pengurus pasukan, Christopher Raj pada majlis undian Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, hari ini.
OSMERA (kiri) bersama pengurus pasukan, Christopher Raj pada majlis undian Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, hari ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan untuk melihat skuad Bawah 17 (B-17) Tahun negara mara ke Piala Dunia B-17 di Peru, hujung tahun ini tampak mudah apabila diundi bersama dua lagi pasukan Asean dalam Kumpulan A Piala Asia yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, dari 15 Jun hingga 2 Julai ini.

Undian di Bangkok, hari ini menyaksikan skuad kendalian Osmera Omaro diletakkan satu kumpulan dengan tuan rumah, Thailand, Laos dan Yaman, dengan juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke suku akhir.

Malaysia yang meletakkan sasaran untuk layak ke Piala Dunia wajib mara hingga ke separuh akhir apabila empat pasukan terbaik akan mewakili Asia ke pentas terbesar dunia itu.

Lantas, berdasarkan undian itu sudah tentunya ia bukan masalah besar buat skuad Harimau Muda negara melepasi peringkat kumpulan dengan cabaran sebenar menanti di suku akhir.

Jika layak ke peringkat lapan terbaik, lawan yang dijangka menanti adalah tiga pasukan terkuat benua ini dari Kumpulan B antara Korea Selatan, Qatar atau Iran, dengan Afghanistan melengkapkan kumpulan itu.

Sementara itu, Osmera mengakui tidak mahu terlalu mendabik dada apabila menyifatkan semua lawan memiliki kekuatan setara.

"Apabila sudah sampai tahap ini (layak ke Piala Asia), bagi saya tak ada pasukan lemah, bahkan tahap semua pasukan sama sahaja.

"Masing-masing ada kelebihan dan kami berada dalam kumpulan kuat. Kami sudah bersedia untuk menanti Jun nanti dan akan beri yang terbaik," katanya yang berada di Bangkok untuk menyaksikan majlis undian itu, ketika dihubungi Arena Metro.

Dua lagi kumpulan pula menyaksikan China, Arab Saudi, Australia dan naib juara edisi lalu di Kuala Lumpur iaitu Tajikistan berada dalam C.

Juara bertahan, Jepun mengetuai Kumpulan D yang diisi Vietnam, India dan Uzbekistan.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad B-17 negara adalah pada saingan 2014 yang kebetulan turut berlangsung di Bangkok apabila disekat Australia di suku akhir dengan keputusan tipis 1-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 4:02 PM