PEMAIN skuad B-17 negara bergambar bersama pegawai pasukan dan barisan kejurulatihan sebelum berlepas ke Bangkok, hari ini. FOTO FB FAM
PEMAIN skuad B-17 negara bergambar bersama pegawai pasukan dan barisan kejurulatihan sebelum berlepas ke Bangkok, hari ini. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Bawah 17 Tahun (B-17) negara, Osmera Omaro mengharapkan pemainnya tidak tertekan bagi mengharungi Piala Asia B-17 di Bangkok, Thailand, bermula Khamis ini.

Osmera berkata, perlawanan pertama menentang Yaman cukup penting dalam memastikan skuad muda negara mendapat tonik bagi mengharungi saingan Kumpulan A di kejohanan terbabit.

Beliau berkata, walaupun tewas pada dua perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan dan Arab Saudi, baru-baru ini, situasi itu tidak merencatkan perancangan pasukan untuk memperoleh keputusan positif kelak.

"Saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain kerana beraksi di pentas Asia sudah cukup mencabar dan pastinya mereka mahu membuktikan keupayaan di pentas itu.

"Apa yang saya tekankan adalah perlu ada keyakinan diri dan sentiasa melakukan yang terbaik. Perlawanan persahabatan baru-baru ini adalah platform terbaik untuk memperbaiki setiap kelemahan pasukan," katanya sebelum berlepas ke Bangkok, hari ini.

Selain itu, kehilangan beberapa tonggak utama pasukan akibat kecederaan turut menjejaskan persiapan pasukan bagi mengharungi perlawanan itu.

Menurutnya, peluang sama rata kerana ketika ini ada tonggak utama tak boleh beraksi kerana kecederaan dan terdapat pemain lain mampu menggalas tanggungjawab itu.

Di Bangkok, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah iaitu Thailand, selain Yaman dan Laos.

Pasukan yang berada kelompok empat terbaik di kejohanan itu bakal memperoleh slot untuk beraksi di Piala Dunia 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 6:09 PM