MOURINHO (tengah) menyaksikan aksi pasukannya pada pusingan pertama Liga Europa. FOTO AP
MOURINHO (tengah) menyaksikan aksi pasukannya pada pusingan pertama Liga Europa. FOTO AP
Agensi

Milan: Roma melakar kemenangan 2-0 ke Real Sociedad pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Europa tetapi ketua jurulatih Jose Mourinho enggan menyifatkan ia sebagai keputusan yang baik.

Gol daripada Stephan Al Shaarawy dan pemain gantian Marash Kumbulla memastikan kemenangan di tempat sendiri yang memberikan Giallorossi kelebihan menjelang aksi timbal balik di San Sebastian.

Walaupun begitu, Mourinho tidak berpuas hati dan menggesa pemain agar berhati-hati kerana kedudukan ke suku akhir dipertaruhkan.

"2-0 ini hanya bagus jika kami tidak tewas tiga gol dalam perlawanan kedua," kata Mourinho.

"Saya tidak akan pernah mengatakan ia keputusan yang baik selepas perlawanan pertama."

Mourinho mengakui Roma berdepan jadual yang padat pada perlawanan kedua 16 Mac ini dengan perlawanan Derby menentang Lazio tiga hari kemudian.

"Sekarang kami berdepan minggu yang berbahaya," kata pengendali itu.

"Selepas kembali bertemu Real Sociedad kami menentang Lazio, walaupun bagi saya bermain dengan mereka seperti bermain dengan Milan atau Juve, tetapi di bandar ini ia tidak begitu."

Roma sebenarnya hanya menguasai 40 peratus penguasaan bola menentang Sociedad, namun berjaya membuat tiga percubaan tepat ke sasaran berbanding pasukan Sepanyol itu.

Walaupun tidak mengisytiharkannya sebagai keputusan yang baik, Mourinho berkata pasukannya mengawal permainan dan berhak untuk menang.

"Saya suka corak yang dipamerkan pemain, usaha dan empati di atas padang," kata Mourinho.

"Kami semua membantu antara satu sama lain. Sukar untuk bermain menentang pasukan yang mengawal ketat di bahagian tengah. Kami berdepan dengan Empoli dan RB Salzburg, tetapi ia sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 11:32 AM