AFP

Alghero, Itali: Pemain tengah yang terkenal dengan ketenangannya, Sami Khedira (gambar) menyeru rakan sepasukannya di Juventus supaya memastikan mereka muncul juara Serie A musim ini dengan mengalahkan Torino, malam ini.

Jika Juventus menang sambil Roma tewas di tangan AC Milan, skuad juara bertahan itu bakal memiliki kelebihan 12 mata sambil berbaki tiga perlawanan.

Tetapi Khedira berkata, kemampuan menjulang scudetto buat kali keenam berturut-turut itu belum boleh dianggap sebagai kejayaan buat Juventus kerana mereka juga mahu melakar trebel - tujuh tahun selepas Jose Mourinho berbuat demikian ketika bersama Inter Milan pada 2010.

Juara Itali 32 kali itu akan berdepan Lazio di final Piala Itali bulan depan dan kelebihan 2-0 yang dilakar pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara ke atas Monaco membuka peluang buat mereka untuk ke final di Cardiff.

Khedira yang tidak bermain menentang Monaco, Khamis lalu, tegas mengatakan masih banyak lagi yang perlu mereka lakukan ketika ini.

“Penyokong memasang impian yang sama dengan kami,” kata Khedira. “Tetapi kami bukanlah orang yang suka berangan-angan dan jika kami mahu merealisasikan impian itu, banyak perkara yang perlu kami lakukan.

“Pertemuan menentang Torino adalah salah satu daripadanya. Jika kami menang dan Roma perlu bermain sehari lebih lewat, kami sudah semakin hampir untuk mencapai objektif.

“Kami mahu menang ke atas Lazio pada saingan Piala Itali. Mereka pasukan hebat tetapi kami pernah mengatasi mereka dua kali musim ini dan apa salahnya kalau kami menang buat kali ketiga.”

Selepas menyaksikan Gonzalo Higuain melakar kecemerlangan di Stade Louis II, jurulatih Massimiliano Allegri sedia untuk membuat beberapa perubahan ke atas pasukannya untuk melayan kunjungan Torino.

Penjaga gol Gianluigi Buffon yang bijak mempertahankan gawangnya ketika bertemu pendahulu Liga Perancis Khamis lalu, mungkin diketepikan untuk digantikan dengan Norberto Neto sambil Allegri juga dikhabarkan mahu merombak benteng pertahanan pasukan.

“Kami sudah sedia untuk pertembungan itu,” kata Allegri. “Saya memiliki pasukan yang cukup untuk saya melakukan perubahan.”

Begitupun, jurulatih berusia 49 tahun itu mungkin mengekalkan jentera serangan yang dibarisi Higuain, Mario Mandzukic, Juan Cuadrado dan Paulo Dybala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 12:03 AM