Maurizio Sarri kini membimbing Lazio dan akan berkongsi stadium dengan Jose Mourinho. FOTO AFP
Maurizio Sarri kini membimbing Lazio dan akan berkongsi stadium dengan Jose Mourinho. FOTO AFP
AFP

Milan: Kabinet trofi Jose Mourinho mungkin hampir penuh, tetapi pengurus baharu Lazio, Maurizio Sarri berkata, ia tidak membawa apa-apa makna apabila mereka berkongsi Stadio Olimpico, musim depan.

Mourinho akan membimbing AS Roma, manakala Sarri dengan kelab musuh satu bandar iaitu Lazio, dan kedua-duanya berkongsi stadium sama di ibu negara Itali.

"Saya tidak perlu dibandingkan dengan Mourinho," kata Sarri pada sidang media hari ini.

"Saya pernah bertemunya dan dia memiliki karektor yang baik. Dia menang lebih banyak berbanding saya, susur galur lebih tinggi, walaupun ia mungkin tidak dikira.

"Pada perlawanan derby nanti, kami akan memberikan segalanya sepanjang perlawanan."

Mourinho, 58, lebih dikenali sebagai 'the Special One' ketika di Chelsea dan mengemudi kelab itu menang Liga Perdana Inggeris kali pertama dalam tempoh 50 tahun pada 2005, sebelum memenangi dua lagi gelaran dan keseluruhan lapan trofi di Stamford Bridge.

Secara keseluruhan, jurulatih dari Portugal itu menang 25 trofi termasuk Liga Juara Eropah bersama Inter Milan dan Porto dan dia menyertai Roma dua minggu selepas dipecat oleh Tottenham.

Sarri menang trofi pertama bersama Chelsea iaitu Liga Europa pada 2019 sebelum menyertai Juventus dan memenangi Serie A pada 2001, sebelum dipecat.

Tetapi, pengendali berusia 62 tahun itu percaya dia sudah menemui keserasian di Lazio, yang memenangi Serie A dua kali termasuk gelaran terakhir pada 2000.

"Saya memilih Lazio kerana dua sebab - sebab peribadi dan sukan," kata jurulatih Itali terkenal kerana 'Sarriball' iaitu permainan dengan kelajuan, penguasaan bola ketika menyerang bersama Napoli dari musim 2015 hingga 2019.

"Saya rasa kelab ini mampu menuntut yang terbaik daripada saya. Saya nampak pasukan ini mampu bermain bola sepak dengan cara digemari saya."

Sarri menggantikan Simone Inzaghi yang berpindah ke juara Serie A, Inter Milan selepas lima tahun di Rome.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 2:15 AM